Tiada sebab WARISAN tidak sokong pindaan perlembagaan – Shafie

Tiada sebab WARISAN tidak sokong pindaan perlembagaan – Shafie

Kota Kinabalu: Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menjelaskan tiada sebab mengapa parti pimpinannya tidak menyokong Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan hak Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, walaupun tidak menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan seperti dilakukan Pakatan Harapan (PH), parti itu tetap menyokong pindaan berkenaan yang diluluskan selepas mendapat majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, semalam.

Dalam sidang medianya di Parlimen selepas lulusnya pindaan itu, Mohd Shafie berkata pindaan itu penting kerana ia ada hubung kait dengan sejarah dan janji yang menentukan hak rakyat Sabah serta Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Kita sokong penuh kerana sedar ia menyentuh hati nurani rakyat seluruh negar. Ini penting kerana Artikel 1(2) Perlembagaan Persekutuan di muka surat pertama adalah mengenai pembentukan negara Malaysia.

“Ia (Malaysia) tidak mungkin terbentuk tanpa muafakat North Borneo (Sabah), Sarawak dan Semenanjung. Perkara ini penting untuk Malaysia dan kita sedar ini bukan bermain politik,” katanya.

Katanya, sokongan terhadap pindaan itu juga sejajar dengan langkah yang pernah diambil pada 2019 oleh kerajaan terdahulu yang mana RUU sama pernah dibentangkan oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, mendiang Datuk Liew Vui Keong, namun gagal mendapat majoriti dua pertiga.

“Kita sedar pindaan ini penting untuk menjelaskan tafsiran wilayah Malaysia, jadi tiada sebab kita tidak menyokongnya. Kita tidak mempolitikkan perkara ini.

“Maka, kita (WARISAN) tidak teragak-agak untuk menyokong penuh walaupun tidak menandatangani MoU dengan kerajaan,” katanya.

Semua tujuh Ahli Parlimen WARISAN mengundi untuk menyokong RUU berkenaan ketika undi belah bahagi diadakan pada bacaan kedua dan ketiga di Dewan Rakyat, semalam.

RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai rakan setara berdasarkan MA63 itu diluluskan selepas mendapat sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen.

Keputusan berkenaan diumumkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun selepas selesai undi belah bahagi pada bacaan kali kedua dan ketiga, seperti ditetapkan Perkara 159 Perlembagaan.

Pada bacaan kedua, RUU berkenaan mendapat 200 undi, manakala tiada ahli yang tidak bersetuju dan 20 Ahli Parlimen tidak hadir, manakala bacaan kali ketiga pula menyaksikan sebanyak 199 undi menyokong, manakala tiada ahli yang tidak bersetuju dan 21 Ahli Parlimen tidak hadir.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|