Semangat jentera BN pastikan kemenangan PRN Melaka – Bung Moktar

Semangat jentera BN pastikan kemenangan PRN Melaka – Bung Moktar

Melaka: Semangat permuafakatan yang kukuh dan komitmen tidak berbelah bahagi pelbagai peringkat jentera parti mampu menghasilkan keputusan yang bermakna kepada Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata kemenangan BN dan UMNO pada PRN Melaka akan memberi impak yang positif kepada rakyat di negeri ini.

Sehubungan itu, Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Sabah mengharapkan agar jentera parti terus istiqamah dan meneruskan semangat yang tinggi itu sehingga ke tarikh pengundian nanti.

Beliau berkata, walaupun berdepan cabaran pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat ketika menjalankan kempen, ia bukan halangan untuk bekerja memenangkan calon BN pda PRN Melaka.

“Saya melihat sokongan rakyat khususnya ahli UMNO di negeri ini kepada calon BN begitu tinggi untuk memenangkan calon mereka. Kita yakin semangat biru sudah membanjiri seluruh Melaka untuk memenangi PRN kali ini,” katanya selepas merasmikan mesyuarat UMNO cawangan Kampung Sembok dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyung, di sini, semalam.

Hadir sama Calon BN DUN Duyung, Mohd Noor Helmay Abdul Halem.

Bung Moktar berkata kesepakatan seluruh rakan parti komponen BN Melaka membolehkan BN cukup bersedia untuk berdepan dengan PRN Melaka.

“Kita kembali ke cawangan dan kawasan masing-masing dengan semangat biru dan berikrar memperkukuhkan jentera di DUN dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) masing-masing,” katanya.

Pengerusi BN Sabah itu berkata semua pemimpin dari seluruh negara termasuk jentera UMNO dari Sabah membantu calon BN atas semangat kerjasama untuk memastikan kemenangan parti.

“Jentera yang telah tersusun diharapkan terus berjalan sehingga 20 November ini dan kempen yang sesuai dengan SOP yang ditetapkan perlu diteruskan sehingga ke tarikh pengundian,” katanya.

Terdahulu Bung menghadiri mesyuarat UMNO cawangan Telok Mas yang disempurnakan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Utama Mohamad Hassan yang turut dihadiri Ketua UMNO bahagian Kota Melaka yang juga calon BN DUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|