Pondok polis ditambah baik

Pondok polis ditambah baik

Penampang: Setiap ketua polis daerah di negeri ini disaran supaya memperkasa dan menambahkan pondok polis di kawasan yang terletak antara jarak 20 hingga 30 kilometer daripada setiap balai polis.

Mengikut rekod, setakat ini, terdapat sebanyak 67 pondok polis di seluruh negeri dan saranan itu bagi memudahkan masyarakat yang memerlukan perkhidmatan polis seperti membuat aduan tanpa perlu bergerak terlalu jauh.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah berkata, saranan yang diutarakan itu juga termasuk melengkapkan pondok polis dengan sistem kepolisan terkini.

Katanya, ia bagi memastikan proses aduan atau laporan yang diterima dapat diambil tindakan sewajarnya.

“Selain itu, ia juga dijangka dapat memberi ruang masa kepada pegawai dan anggota terlibat untuk melakukan siasatan lebih awal.

“Dengan adanya kemudahan ini, masyarakat tidak lagi perlu pergi jauh untuk membuat laporan sekiranya berlaku sebarang perkara yang memerlukan bantuan ataupun aduan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang selepas lawatan kerja rasminya, hari ini.

Hadir sama, Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah Senior Asisten Komisioner Zabidi Md Zain, Ketua Cawangan Khas IPK Sabah, Datuk Mohd Salleh Yahya dan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim.

Mengulas lanjut, Idris berkata, IPD juga diingatkan supaya menekankan usaha untuk memperbaiki perjawatan anggota dan pegawai di negeri ini.

Sementara itu, berhubung dengan pembinaan baharu IPD Penampang di tapak baharu, Idirs berkata, ketika ini, proses dokumentasi masih berjalan dan hanya akan dapat diteruskan selepas semua proses berkenaan selesai.

Katanya, anggaran pembinaan Ibu Pejabat Polis Daerah itu dianggarkan mencecah sebanyak RM150 juta.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|