PRN Melaka: Di antara BN, PN dan PH, pilihan di tangan rakyat

PRN Melaka: Di antara BN, PN dan PH, pilihan di tangan rakyat

Melaka: Barisan Nasional (BN) lawan Perikatan Nasional (PN) lawan Pakatan Harapan (PH), itu yang jelas di mata pengundi yang akan membuat pilihan di 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Hanya berbaki kira-kira empat hari lagi, pengundi Negeri Bersejarah itu pasti ada yang sudah membuat pilihan calon yang bakal ‘dipangkah’ pada hari mengundi nanti, namun pasti ramai juga masih keliru siapa yang harus dipilih.

Walaupun ada calon parti lain dan bebas turut mencuba nasib, namun persaingan sebenar pasti tertumpu kepada tiga gabungan parti politik berkenaan, sejajar dengan landskap politik Semenanjung yang kini menyaksikan persaingan di antara ketiga-tiganya.

Di antara ketiga-tiga gabungan itu pula, ada pendapat mengatakan persaingan sebenar adalah di antara BN dan PH, berdasarkan perkiraan bahawa BN sebagai penyandang kerajaan, manakala PH selaku penyandang pembangkang.

Kehadiran PN berlaku hanya selepas UMNO – BN enggan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang membentuk gabungan PN bersama PAS, GERAKAN, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP).

Sekali pandang, pertembungan BN dan PN agak mengelirukan memandangkan kedua-duanya adalah gabungan yang membentuk kerajaan persekutuan dan beberapa negeri lain seperti Johor dan Sabah.

Situasi itu dilihat seolah-olah menyukarkan pengundi untuk membuat pilihan, namun ada pihak berpendapat perkara itu tidak timbul kerana PRN Melaka dianggap lebih kepada persaingan personaliti, berbanding lambang parti.

Jika ditinjau pandangan di pihak PN, pemimpin gabungan itu menyifatkan PRN Melaka adalah persaingan di antara calon mereka dan BN, berbanding calon PH, mengambil kira pendirian BN yang enggan bekerjasama dengan PN.

Pemimpin kedua-dua gabungan itu dilihat berbalas tuduhan mengenai beberapa isu, termasuk yang pernah dijadikan modal kempen ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) seperti 1 MDB, jelas menunjukkan ketidakserasian di antara keduanya.

UMNO yang menjadi tunjang BN awal-awal lagi sudah menolak kerjasama dengan PN, khususnya BERSATU, dengan alasan keputusan itu adalah atas kehendak penyokong parti, manakala kerjasama dalam kerajaan disifatkan atas kapasiti pemimpin demi menangani isu dalam negara.

Pemerhati politik berpandangan, pertembungan PN dan BN adalah satu bentuk eksperimen untuk menilai kekuatan dan kelemahan masing-masing terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 yang dijangka pada tahun depan.

Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Lee Kuok Tiung, baru-baru berkata walaupun keadaan itu dilihat sebagai satu perselisihan di antara kedua-dua parti berkenaan, perkara sama juga sebenarnya berlaku dalam gabungan pembangkang di Melaka.

“Saya melihat kedua-dua BN dan PN sedang membuat eksperimen melihat kekuatan masing-masing di peringkat akar umbi untuk menentukan halatuju kerjasama mereka pada PRU-15 akan datang.

“Perselisihan mahupun persaingan ini bukan saja berlaku di antara BN dengan PN kerana kita nampak DAP tidak hadir juga dalam pengumuman calon PH, baru-baru ini,” katanya mengulas situasi pertembungan di antara BN dan PN pada PRN Melaka.

Selaku penyandang kerajaan dengan Ketua Menteri ‘caretaker’ juga adalah pemimpin BN, gabungan itu yakin mampu menawan hati rakyat Melaka meskipun kempen pada PRN ini dibatasi prosedur operasi standard (SOP) ketat ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Keyakinan itu turut disuarakan Pengerusi BN Sabah yang juga Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang turun membantu kempen calon BN di Melaka, menyifatkan peluang BN pada PRN itu cukup cerah.

Beliau menyifatkan dakyah parti lawan mengulangi fitnah yang pernah dibuat pada PRU-14 sehingga menyebabkan BN kalah pada PRU itu tidak lagi memberi kesan kepada pengundi di Melaka kerana rakyat sudah tahu menilai situasi sebenar.

Pada masa sama, katanya rakyat Melaka juga menyedari kegagalan kerajaan PH sebelum ini untuk mentadbir dengan lebih baik berbanding BN sehingga kerajaan akhirnya bertukar pasti membuatkan rakyat Melaka berhati-hati membuat pilihan.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai situasi di Melaka, Kuok Tiung yang juga penganalisis politik Sabah, berkata UMNO harus mengambil peluang pada PRN Melaka untuk merapatkan kerjasama dengan parti komponen BN dan tidak perlu lagi memikirkan kerjasama serta sokongan daripada PAS.

Katanya, UMNO seharusnya mempunyai keyakinan pada diri sendiri berbanding menyerahkan nasib mereka kepada ehsan org lain untuk kembali berkuasa dengan menyelidiki asas yang menjadikan UMNO parti terkuat dan memerintah sebelum kejatuhan BN pada PRU-15.

UMNO sebelum ini menyatakan kesediaan bekerjasama dengan PAS pada PRN Melaka atas kapasiti Muafakat Nasional yang dibentuk antara kedua parti itu sebelum ini tetapi parti itu perlu bertanding menggunakan lambang sendiri.

Bagaimanapun, PAS sebaliknya membuat keputusan untuk bertanding atas tiket PN menerusi kerjasama dengan BERSATU dan GERAKAN, sekali gus memberi jawapan bahawa parti itu tidak mahu bekerjasama dengan UMNO – BN.

Di sebalik pertembungan BN dan PN, ada pihak berpendapat kelebihan PRN Melaka mungkin beralih kepada PH yang pasti berharap pertembungan kedua-dua parti itu diterjemahkan kepada undi untuk PH.

Tidak menghairankan apabila gabungan itu sudah mencongak sekurang-kurangnya 16 kerusi daripada keseluruhan 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka bakal menjadi milik mereka pada 20 November ini, bagi memberi mereka majoriti untuk membentuk kerajaan baharu Melaka.

Namun, baki lima hari tempoh berkempen dengan SOP ketat yang lebih banyak menggunakan medium media sosial dan penggunaan poster serta media elektronik berikutan larangan ceramah umum dan kempen rumah ke rumah, masih memberi cukup masa untuk semua calon membuktikan keupayaan masing-masing.

Ramai pengundi juga lebih suka menunggu masa akhir kempen untuk menentukan pilihan selepas meneliti potensi calon masing-masing sama ada BN, PN atau PH.

Apa yang jelas, rakyat Melaka sudah pasti akan membuat pilihan untuk mengembalikan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi dan kesihatan yang terjamin selepas hampir dua tahun dibelenggu pandemik Covid-19.

Rakyat Melaka juga tentunya akan membuat pilihan berdasarkan bukti kemampuan kerajaan yang memerintah sebelum ini sebagai asas untuk menentukan parti mana lebih layak untuk menerajui kerajaan negeri Melaka selepas 20 November ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|