Kerajaan berusaha beri yang terbaik untuk rakyat – Fairuz Renddan

Kerajaan berusaha beri yang terbaik untuk rakyat – Fairuz Renddan

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Fairuz Renddan menjelaskan kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada rakyat, termasuk bagi menyelesaikan segala masalah yang timbul berkaitan tanah dan hak rakyat.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau secara spesifik mengaitkan perkara itu dengan isu tanah berbangkit di kawasannya iaitu di Kuala Pintasan, Kota Belud yang menjadi pertikaian penduduk kampung sekitar.

“Berkaitan masalah tanah di Kuala Pintasan yang dipertikaikan, untuk pengetahuan semua pihak, tanah berkenaan adalah tanah yang mempunyai geran dan geran itu telah dikeluarkan dan didaftarkan sejak 19 Mac 1991.

“Tujuan geran tanah itu adalah untuk mewujudkan ekosistem bagi tujuan pembangunan akuakultur yang mana pada asalnya tanah geran itu dikeluarkan atas nama Aquabio (Sabah) SB dan kemudiannya dibeli oleh syarikat QL Aquamarine pada 2015,” katanya.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berita mengenai isu pemilikan tanah berkenaan dan perhimpunan oleh kumpulan individu yang menggesa Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Ketua Menteri untuk menyelesaikan masalah itu.

“Tiada isu seperti mana yang dinyatakan oleh mereka kerana pertemuan sudah dibuat beberapa kali dengan wakil kumpulan yang membuat perhimpunan itu.

“Namun, mungkin terdapat masalah atau pertindihan maklumat yang tidak sampai kepada mereka dan mereka menganggap bahawa mereka adalah pemilik tanah tersebut.

“Untuk pengetahuan juga, semalam (15 November 2021), saya dan Pegawai Daerah Kota Belud, Dayanah Abdullah sudah bertemu dan bermesyuarat dengan wakil kumpulan perhimpunan,” katanya.

Fairuz berkata, pertemuan itu telah mencapai kata putus bahawa tidak akan ada halangan bagi mereka untuk mengambil tindakan bantahan terhadap projek terbabit, namun ia mesti dibuat berlandaskan undang-undang.

“Puan Pegawai Daerah juga menasihatkan mereka agar tidak mengadakan perhimpunan seperti yang diadakan sebelum ini kerana ia membawa persepsi negatif pihak luar kepada penduduk di Kota Belud.

“Ini kerana keadaan semasa seperti sekarang adalah amat memerlukan kerjasama semua pihak untuk sama-sama memulihkan kembali ekonomi dan syukur kerana nampaknya usaha perbincangan itu membawa hasil yang positif,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|