Sayangkan anjing dan kucing, pupuk minat buka kedai haiwan

Sayangkan anjing dan kucing, pupuk minat buka kedai haiwan

Kota Kinabalu: Rasa sayang terhadap anjing dan kucing sejak puluhan tahun lalu membuatkannya berani untuk cuba menceburi perniagaan kedai haiwan.

Pengusaha kedai A&D ‘Pet House’, Datuk Lau Kee Mein berkata, sehingga kini, perasaan kasih sayangnya dengan haiwan peliharaan itu semakin menebalkan sehinggakan melayannya seperti anak.

Katanya, minat terhadap haiwan mula sejak membesar di kampungnya apabila melihat banyak haiwan berkenaan yang berkeliaran tanpa penjagaan yang baik.

“Ketika remaja, saya suka memberi makan kepada haiwan seperti anjing dan kucing. Malah sekiranya haiwan itu cedera atau sakit, saya akan cuba memberi ubat.

“Sampai sekarang, saya tolong lebih 15,000 anjing dan kucing. Bawa balik, bagi makan dan jaga haiwan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan pembukaan kedai haiwan peliharaan yang dibuka di Bangunan Ashton, Batu 4 Jalan Penampang, di sini, hari ini.

Kee Mein berkata, tujuan beliau membuka kedai berkenaan juga adalah untuk mengajar orang ramai supaya menyayangi dan menghargai haiwan peliharaan.

Katanya, beliau juga mempunyai makanan khas haiwan yang mempunyai vitamin dan bersesuaian dengan haiwan yang boleh dikongsikan dengan pengemar haiwan peliharaan.

“Penjagaan dan pemakanan yang sesuai boleh memberikan kesihatan yang baik terhadap haiwan berkenaan. Inilah tujuan utama saya membuka pusat ini,” katanya.

Sementara itu, rakannya Datuk Joseph P. Lantip berkata, Kee Mein adalah seorang penjaga haiwan peliharaan tegar.

Katanya, dalam keadaan pandemik Covid-19, Kee Mein masih berani untuk membuka perniagaan ini yang memberi ruang kepada pencinta alam dan haiwan meneruskan minat mereka.

“Ini semestinya satu keistimewaan kerana pengemar haiwan peliharaan boleh meneruskan aktiviti di rumah masing-masing,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|