Covid-19 Sabah: Jangkitan baharu turun 101 kes

Covid-19 Sabah: Jangkitan baharu turun 101 kes

Kota Kinabalu: Kes baharu Covid-19 di Sabah turun 101 kepada 554 kes hari ini berikutan penurunan kes di kebanyakan daerah berbanding 655 kes yang dilaporkan semalam.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata berdasarkan laporan Covid-19 hari ini, lebih banyak daerah mencatat penurunan kes berbanding yang mencatat pertambahan.

Katanya, daerah Kota Kinabalu kembali mencatat kes tertinggi hari ini dengan 76 kes baharu berikutan sedikit peningkatan berbanding 69 kes yang dilaporkan semalam.

“Bagaimanapun, 72 daripada kes itu adalah kes yang didaftar lewat antara dua hingga tiga hari selepas keputusan saringan diketahui dan empat kes lagi didaftar lewat melebihi tiga hari.

“Bagi keseluruhan negeri Sabah, sebanyak 303 kes atau 54.7 peratus adalah kes yang berlaku dan didaftar dalam tempoh 24 jam yang lalu,” katanya dalam kenyataan media petang ini.

Masidi berkata lebih 97 peratus daripada 554 kes hari adalah jangkitan Covid-19 yang dianggap ‘kes ringan’ yang tidak memerlukan rawatan di hospital, masing-masing 101 orang dalam Kategori 1 dan 438 orang dalam Kategori 2.

Katanya, pesakit dalam kategori 3, 4 dan 5 kekal rendah iaitu hanya empat orang dalam Kategori 3 dan masing-masing dua orang dalam Kategori 4 dan Kategori 5, manakala tujuh kes lagi masih dalam siasatan lanjut Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

Sementara itu, dua daerah hari ini mengekalkan rekod sifar kes sejak semalam iaitu Tongod dan Kalabakan, manakala tujuh daerah mencatat kes satu angka iaitu Sipitang (9), Kuala Penyu (8), Sandakan (6), Telupid (5), manakala masing-masing tiga kes di Semporna, Kunak dan Nabawan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|