Dos penggalak untuk 7,000 anggota Divisyen Kelima Infantri

Dos penggalak untuk 7,000 anggota Divisyen Kelima Infantri

Putatan: Seramai 7,000 anggota tentera Markas Divisyen Kelima Infantri Malaysia ditetapkan bakal menerima dos penggalak vaksin Covid-19.

Panglima Divisyen Kelima Infantri, Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid berkata, penetapan itu dibuat selepas pihaknya mendapat arahan daripada pihak atasan.

Katanya, dos penggalak yang juga dos ketiga itu akan diberikan kepada semua petugas barisan hadapan di markas berkenaan.

“Kita akan memulakan proses pemberian dos dalam masa terdekat ini dan kita diharap selesai pada hujung November ini.

“Kita mengganggarkan seramai 7,000 anggota dan pegawai akan menerima suntikan ini. Selepas itu, kita akan tunggu arahan selanjutnya untuk suntikan kepada ahli keluarga warga tentera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Hari Bersama Media Tahun 2021 di Kem Lok Kawi, di sini, hari ini.

Mohd Halim berkata, pihaknya berharap, pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 ini memberi keyakinan kepada anggota tentera untuk lebih bersedia melaksanakan tugas di sempadan.

Sementara itu, mengulas berhubung program bersama media itu, Mohd Halim berkata, ia bertujuan untuk memberi pendedahan kepada petugas media berhubung latihan yang dilaksanakan oleh ATM.

“Aktiviti menembak yang dilaksanakan ini juga bagi mendedahkan kesiapsiagaan kita untuk menghadapi sebarang ancaman di kawasan tanggungjawab kita.

“Program ini juga adalah penghargaan kepada warga media kerana bersama mengharungi selama setahun lebih dalam operasi melawan Covid-19 dengan memberi semangat menerusi artikel yang dilaporkan supaya terus menjalankan tugas memerangi Covid-19,” katanya.

Mohd Halim berkata, kerjasama dengan para pengamal media diharap akan berterusan di masa hadapan bagi membolehkan ATM meneruskan tugas selain memberi maklumat tepat bahawa Divisyen Kelima sentiasa bersama rakyat Sabah.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|