Kurang pekerja punca utama perkhidmatan air tidak memuaskan – Maximus

Kurang pekerja punca utama perkhidmatan air tidak memuaskan – Maximus

Kota Marudu: Kekurangan tenaga kerja dikenal pasti menjadi punca utama kegagalan pengurusan isu air yang menyebabkan perkhidmatan bekalan air di daerah ini berada pada tahap yang teruk.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata berikutan itu Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) perlu distruktur semula bagi memastikan bekalan air bersih mencukupi dan memenuhi permintaan pengguna.

“Saya diberitahu hanya terdapat satu pertiga tenaga kerja di Jabatan Air Kota Marudu, yang mana daripada 150 kakitangan yang diperlukan, hanya 44 ditempatkan untuk mengurus dan memberi perkhidmatan kepada 75,169 pengguna di sini menerusi loji rawatan air Bandau, Simpangan dan Kampung Gana.

“Sehubungan itu, sudah tiba masanya untuk menaik taraf operasi pejabat bagi menghentikan aduan mengenai gangguan dan bekalan air di Kota Marudu.

“Realitinya, masalah kekurangan dan gangguan air menjadi sebahagian daripada kehidupan penduduk di daerah ini,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu selepas mendengar taklimat daripada Jabatan Air dan Jabatan Pembetungan daerah, di sini, hari ini.

Hadir sama ialah Pembantu Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat negeri, Datuk Julita Majungki; Pembantu Menteri Pertanian dan Perikanan negeri, Hendrus Anding dan Pegawai Daerah Kota Marudu, Alexander Yong.

Maximus berkata, selain kekurangan tenaga kerja, masalah bekalan air juga berpunca daripada paip pecah, rosak dan lama, serta kerosakan mesin.

Jelasnya, situasi yang dihadapi penduduk di Kota Marudu sama seperti yang berlaku di daerah lain, yang mana masalah air kurang diberi keutamaan.

“Banyak daerah mengalami masalah yang sama dan orang ramai terpaksa minum air tidak berkualiti. Sudah tiba masanya untuk memperbaiki kualiti perkhidmatan selaras dengan slogan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor – Sabah Maju Jaya,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata beberapa projek menaik taraf bekalan air dirancang melalui Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) untuk memastikan penduduk Kota Marudu dapat menikmati bekalan air yang mencukupi dan bersih pada masa hadapan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|