Kejohanan Grand Final Piala BMR 26 November depan

Kejohanan Grand Final Piala BMR 26 November depan

Kota Kinabalu: Kejohanan grand final Piala Datuk Seri Bung Moktar Radin (BMR) bawah 18 tahun ditetapkan berlangsung pada 26 hingga 28 November depan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan, Lokman Sunggim berkata, kejohanan berkenaan akan diadakan di Stadium Likas dan Padang Pejabat Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA).

Katanya, kejohanan itu akan membabitkan lapan zon iaitu zon Pantai Barat Timur, Pantai Barat, Pantai Barat Utara, Pantai Barat Selatan, Pantai Timur Utara, Zon Tengah, Pedalaman Atas dan Pantai Timur Selatan.

“Kita sedar dalam keadaan pandemik Covid-19 ini, pelbagai cabaran harus ditempuhi namun ia tidak akan menghalang untuk pihak SAFA menjayakannya kejohanan ini.

“Namun segala perancangan yang bersesuaian perlu digariskan dalam memastikan keselamatan semua pihak berada dalam keadaan sebaiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mesyuarat dan taklimat persiapan Kejohanan Piala YB Datuk Seri Bung Moktar Radin 2021 yang diadakan di pejabat SAFA dan secara atas talian dengan wakil pengurusan zon, hari ini.

Mesyuarat turut dihadiri Setiausaha Agung SAFA Datuk Jelani Hamdan, Setiausaha Eksekutif David Wisom dan Pengarah Teknikal SAFA Omar Maya Amat serta Ketua Pengadil Pertandingan Mustapa Tuah.

Lokman berkata, antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan termasuk garis panduan prosedur operasi standard (SOP) pengendalian pertandingan dan venue perlawanan kejohanan.

Selain itu katanya, pihak pengurusan juga menetapkan tempat penginapan pemain dan pegawai serta ujian saringan Covid-19 serta beberapa lagi perkara penting.

“Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dalam menjayakan kejohanan ini dan sekaligus memastikan sasaran memajukan sukan bola sepak di negeri ini tercapai

“Begitu juga membantu menjadikan kejohanan ini sebagai platform melahirkan pemain-pemain muda yang berbakat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|