Misi kutip 3 mata di Stadium Likas malam esok – Kim Swee

Misi kutip 3 mata di Stadium Likas malam esok – Kim Swee

Kota Kinabalu: Sabah FC mensasarkan kutipan tiga mata penuh dalam pertemuan menentang Kelantan FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam esok.

Ketua Jurulatih Datuk Ong Kim Swee berkata, kemenangan itu amat penting bagi memastikan skuad badak layak ke peringkat seterusnya dalam saingan kempen TM Piala Malaysia 2021.

Katanya, pemain Sabah FC perlu melupakan dua kekalahan berturut-turut kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dan memfokus perlawanan penting malam esok.

“Setakat ini peluang masih lagi terbuka dan yang penting di sini kita harus memperbaiki kedudukan ini sekali gus menang menentang Kelantan FC malam esok.

“Kita tewas dengan pasukan JDT dua kali berturut-turut. Pada masa itu kita beri peluang kepada pemain muda untuk menimba pengalaman serta pendedahan kepada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Kim Swee berkata, pendedahan yang diperolehi ketika menentang pasukan terbaik seperti JDT memberi peluang kepada pemain muda untuk mempelajari pengalaman berharga.

“Kita harap pemain muda yang diberi peluang sekali lagi turun malam esok akan beraksi dengan lebih baik berikutan beberapa pemain utama cedera termasuk Park Taesu, Nazirul Naim, Dendy Lowa Rawilson Batuil,” katanya.

Kim Swee berharap, sesiapa saja yang diturunkan malam esok dapat melaksanakan tugas mereka dengan baik untuk memastikan Sabah FC mencatat tiga mata menentang Kelantan FC.

“Kita sangat berharap agar beberapa pemain utama sempat pulih sekali gus dapat beraksi secara sepenuh masa sekali gus memastikan tiga mata milik Sabah FC,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|