Provokasi China merupakan ancaman buat negara – Cikgu Ali

Provokasi China merupakan ancaman buat negara – Cikgu Ali

Kuala Lumpur: Kerajaan di gesa untuk berwaspada dan kembali menyatakan bantahan ekoran situasi tidak stabil di perairan Laut China Selatan sambil menyifatkan tindakan China yang sering menceroboh kawasan sempadan sebagai provokasi dan ancaman.

Menurut Timbalan Speaker Dewan Negara, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad tindakan berterusan itu secara tidak langsung telah menggangu golongan nelayan yang tempatan yang bergantung hidup dengan sumber laut sekaligus menggangu pertumbuhan ekonomi negara.

“Isu Laut China Selatan ini telah meningkatkan persaingan di kalangan nelayan sehingga menyebabkan konflik ini semakin memburukkan ditambah dengan tindakan China yang bersungguh-sungguh menyokong nelayannya dengan meningkatkan kawalan pengawal pantai, armada nelayan tentera dan sebagainya.

“Tindakan itu secara tidak langsung telah menyebabkan peningkatan bilangan nelayan yang semakin tinggi dari China sehingga mengakibatkan pendapatan nelayan tempatan terjejas sekaligus membuat sumber laut berkurangan.

“Hasil daripada peningkatan permintaan makanan laut dan penambahbaikan teknologi, populasi ikan di sekitar rantau ini semakin berkurangan. Para saintis percaya bahawa jika penangkapan ikan diteruskan pada kadar ini, dunia perikanan akhirnya akan runtuh oleh itu Malaysia harus bertindak tegas dan tidak tunduk terhadap tekanan dan gangguan provokasi berterusan yang dilakukan oleh pihak ketenteraan China,” katanya.

Mohamad Ali turut menjelaskan selain golongan nelayan kawasan Laut China Selatan turut menempatkan pelantar minyak dan gas milik Petronas, sekiranya perkara itu tidak dibendung adalah tidak mustahil ekonomi negara yang bergantung terhadap sumber alam tersebut akan turut terkesan.

“Paling penting dikawasan tersebut mempunyai pelantar gas dan minyak milik Petronas dan sekiranya perkara ini tidak ditanggani segera bakal menggangu pertumbuhan ekonomi negara yang sangat bergantung dengan sumber minyak dan gas.

“Saya mencadangkan agar kerajaan menyatakan pendirian yang jelas terhadap pencerobohan ini. terus memberi desakan dan menyatakan bantahan agar perkara ini dapat dihentikan dengan segera,’ katanya pula.

Sementara itu menurut Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Mohd Hisamudin Yahaya menggesa meningkatkan peralatan dan pengawasan di sempadan negara sebagai langkah keselamatan.

“Tanpanya, kita akan buta dan tidak tahu apa yang akan terjadi. Contohnya insiden tahun ini dengan jet pejuang negara China. Tentera udara kita tidak akan dapat memintas pesawat negara China, jika bukan kerana sistem radar di Sabah.

“Negara-negara lain, biasanya menggunakan radar bersama dengan pesawat tempur untuk menghalang dan menangani ancaman udara. Kita mesti bersiap-siaga dari sekarang. Kita mesti bertindak sekarang. Kita mesti berlatih sekarang. Tidak ada lagi masa untuk dipersiakan, “rumah kita” bukan tempat untuk kuasa-kuasa besar menjadi kancah pertempuran proksi.

“Jangan kita lupa bahawa garis ‘nine-dash-line’, tuntutan negara China telah dilucutkan oleh sebuah tribunal di The Hague. Tiada asas undang-undang bagi negara China untuk menuntut hak bersejarah atas sumber-sumber di kawasan laut yang berada dalam wilayah ini. Malahan, komuniti antarabangsa menafikan negara China berperanan di perairan yang dipertikaikan ini,” tegasnya pula.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|