“Saya tidak reda Dr Yusof keluar WARISAN,” – Shafie Apdal

“Saya tidak reda Dr Yusof keluar WARISAN,” – Shafie Apdal

Kota Kinabalu: Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menafikan beliau merelakan atau merestui tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob keluar parti.

Ahli Parlimen Semporna itu menegaskan beliau hanya mengetahui tindakan Dr Yusof itu pada malam kelmarin ketika masih di Kuala Lumpur kerana menghadiri persidangan Parlimen.

“Parti WARISAN melihat keputusan ini sebagai keputusan peribadi beliau dan menolak dakwaan bahawa saya reda atau membenarkan dan merestui keputusannya untuk keluar daripada parti.

“Beliau juga tidak wajar menggunakan alasan keputusan itu dibuat demi meneruskan khidmat kepada rakyat. Ini adalah kerana beliau sendiri sebelum ini diberi jawatan penting dalam Kabinet negeri sebagai Menteri Pendidikan dan Inovasi.

“Malah, kedudukan beliau sebagai Ketua Penerangan Parti membolehkan beliau menyertai perbincangan dan mesyuarat penting termasuk Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) dan juga Mesyuarat Pasca Majlis Raja-Raja bersama dengan Menteri Besar, sama ada mengiringi atau mewakili Presiden parti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat bersama kepemimpinan tertinggi WARISAN, di sini, petang ini.

Mesyuarat itu dihadiri semua 20 ADUN WARISAN, termasuk Naib Presiden, Datuk Jaujan Sambakong, Datuk Peter Anthony dan Datuk Junz Wong; serta Setiausaha Agung WARISAN, Datuk Loretto Padua.

Hanya Timbalan Presiden yang juga Ahli Parlimen Penampang dan ADUN Moyog, Datuk Darell Leiking tidak hadir.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata WARISAN akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Dr Yusof Yacob berikutan tindakannya mengumumkan keluar parti itu.

Jelasnya, tindakan itu sama seperti yang dilakukan terhadap ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir yang keluar daripada WARISAN pada Februari lalu.

Katanya, surat akujanji yang dibuat Dr Yusof berserta dengan video mengenai perkara itu yang dibuat selepas dipilih menjadi calon WARISAN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) September tahun lalu akan dijadikan rujukan.

“Kita akan susuli dengan tindakan undang-undang dan kita sudah buat sesuatu. Ini sama seperti ADUN Sebatik, kesnya masih dalam mahkamah,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata surat akujanji taat setia kepada parti yang ditandatangani ADUN WARISAN ketika dipilih sebagai calon pada PRN lalu adalah antara usaha parti itu bagi menghalang amalan lompat parti.

Inisiatif WARISAN itu, jelasnya selaras dengan pembaharuan yang mahu dilaksanakan kerajaan Pusat menerusi penggubalan undang-undang anti lompat parti yang dijangka dibentangkan di Parlimen tidak lama lagi.

Mohd Shafie turut mendakwa, Dr Yusof juga cuba mempengaruhi ADUN WARISAN yang lain untuk keluar parti dan menawarkan sejumlah wang yang banyak untuk menyertai parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“WARISAN tidak pernah berkompromi dan menentang sekeras-kerasnya budaya lompat parti dengan cara penyogokan wang dan pangkat sama ada di peringkat negeri atau Pusat.

“Ketika kerajaan berusaha mendapatkan WARISAN untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dan menyokong kerajaan secara bipartisan dengan menolak budaya politik berlebihan ketika pandemik, ada pula unsur menawarkan jawatan dan imbuhan untuk menarik keluar dan menekan mana-mana Ahli Parlimen dan ADUN pembangkang bagi menyertai parti kerajaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|