Kerjasama orang ramai penting untuk jayakan PICK, capai imuniti kelompok- Shahelmey

Kerjasama orang ramai penting untuk jayakan PICK, capai imuniti kelompok- Shahelmey

Putatan: Kerjasama orang ramai dalam menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) sangat penting bagi mencapai sasaran imuniti kelompok di negeri ini.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata pada masa sama pihak kerajaan juga mengambil langkah proaktif memberi vaksin kepada rakyat.

Katanya, menerusi langkah itu, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan (KKM) dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menghantar pasukan tambahan ke daerah dikenal pasti mempunyai rekod peratusan vaksinasi rendah.

Beliau berkata, ia adalah antara inisiatif berterusan kerajaan negeri untuk memaksikumkan pemberian vaksin di negeri ini.

“Terdapat beberapa daerah yang masih mempunyai pencapaian pemberian vaksin agak rendah.

“JKNS sudah menghantar tambahan kakitangan untuk membuat program di lapangan bagi mengoptimakan pemberian vaksin kepada golongan dewasa di daerah terbabit.

“Dalam kita mengadakan program di lapangan dan juga masih menyediakan operasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV), yang paling penting sebenarnya adalah kerjasama daripada rakyat kita sendiri,” katanya.

Menurutnya, pencapaian pemberian vaksin ini menjadi syarat peralihan dari fasa pandemik ke fasa endemik.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai agar menyambut seruan untuk mendapatkan vaksin bagi melindungi diri dan semua.

“Penduduk Sabah sama ada warga negara Malaysia ataupun bukan warga negara yang belum menerima vaksin, kita mintalah tolong datang ke PPV berdekatan untuk menerima vaksin,” katanya.

Shahelmey berkata demikian ketika ditemubual selepas menyempurnakan Program Kembara Prihatin bersama Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) Sabah di Kampung Ketiau, di sini, pagi tadi.

Dalam program itu, Shahelmey juga berpesan kepada pemimpin masyarakat agar mengemas kini data golongan sasar di kawasan masing-masing.

Beliau berkata, ia bagi mengelak kejadian nama penerima yang layak tercicir daripada menerima bantuan.

“Dalam usaha kita untuk menghulurkan bantuan kepada golongan yang terkesan, saya juga ingin berpesan kepada pemimpin masyarakat seperti Pejabat Daerah, Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) di kawasan masing-masing untuk membantu mengemas kini data penerima golongan sasar.

“Ini untuk memastikan tidak berlaku kejadian penerima yang betul-betul layak tercicir daripada menerima bantuan yang disediakan oleh kerajaan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|