Pelan pembangunan bola sepak Sabah

Pelan pembangunan bola sepak Sabah

Kota Kinabalu: Satu pelan pembangunan bola sepak membabitkan tiga pihak, Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Majlis Sukan Negeri Sabah (MSNS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) dijangka dapat direalisasikan di negeri ini tidak lama lagi.

Ia sebagai satu usaha memajukan sukan itu secara berterusan.

Penolong Setiausaha Agung SAFA, Azman Mastar berkata berikutan itu, satu perjanjian persefahaman (MoU) akan dimeteraikan membabitkan tiga pihak tersebut dalam sedikit masa lagi.

Katanya, menerusi perjanjian itu, pelan pembangunan berterusan akan dirancang bersesuaian dengan keadaan dari semasa ke semasa.

Menurut beliau, ia bagi memastikan sukan bola sepak di negeri ini dapat terus melahirkan pemain berpotensi tinggi dan seterusnya mengharumkan nama negeri dan negara.

“Menerusi platform persefahaman ini, kita dapat berkongsi kepakaran dalam bidang sukan bola sepak berprestasi tinggi.”

“Ia menerusi peluang pertukaran kepakaran teknikal dan profesional antara ketiga-tiga pihak dari semasa ke semasa,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan perbincangan antara ketiga-tiga badan sukan yang diadakan secara atas talian, semalam.

Turut hadir pada perbincangan berkenaan Ketua Cawangan Pembangunan Khas MSN Shukri Harun; Pengarah MSN Sabah Mohd Hasni Mohd Noor; Setiausaha Eksekutif SAFA David Wisom dan Pengarah Teknikal SAFA, Omar Maya Amat.

Azman menambah, kemajuan pengurusan sukan bola sepak ini juga akan dapat diterapkan dari peringkat akar umbi dalam usaha melahirkan lebih ramai pemain berpotensi.

Katanya, Sabah mempunyai sejarah yang cukup gemilang dalam melahirkan lagenda bola sepak antaranya Datuk James Wong, Datuk Hassan Sani dan Matlan Marjan.

“Dengan adanya usaha seperti ini, tidak mustahil untuk kita melahirkan lebih ramai lagi pemain yang bukan saja dapat menaikkan martabat sukan bola sepak negeri tetapi juga negara di persada antarabangsa,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|