Pelancaran cawangan bank bergerak BSN di Sipitang

Pelancaran cawangan bank bergerak BSN di Sipitang

Sipitang: Pelancaran cawangan bank bergerak Bank Simpanan Nasional (BSN) di kawasan pedalaman memberi kemudahan kepada penduduk untuk urusan perbankan.

Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa berkata, kemudahan ini akan digunakan di enam kawasan termasuk Kalabakan hingga ke Lahad Datu serta Sook, Paitan dan kawasan sekitar.

Katanya, perancangan ini sememangnya termasuk dalam bajet 2021, untuk memudahkan akses dan saluran bantuan tu kepada golongan-golongan yang tinggal jauh di luar bandar.

“Alhamdullilah, ia akan bermula pada minggu depan di beberapa kawasan di negeri ini dengan menyantuni semua mereka yang berada jauh di luar bandar.

“Untuk program bank bergerak ini, kementerian Kewangan memperuntukkan sebanyak RM18 juta. Ia bukan saja untuk Sabah dan Sarawak, tetapi juga di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Pelancaran Cawangan Bank Bergerak (CBB) Bank Simpanan Nasional (BSN) yang diadakan di Majlis Daerah Sipitang, di sini, hari ini.

Yamani berkata, bank bergerak ini akan bergerak ke tempat-tempat yang jauh dan sukar dicapai atau lokasi tidak ada akses bank serta mesin ATM.

Sementara itu, salah seorang penduduk Supirman Abdul Kadir yang ditemui berkata, sebagai rakyat di daerah Sipitang, mereka amat bersyukur kerana dengan adanya bank bergerak ini, ia akan memberi kemudahan kepada mereka.

Katanya, ia boleh membantu masyarakat di bahagian pedalaman seperti Sipitang untuk semua urusan perbankan.

“Sebelum ini, kita hanya bergantung kepada hanya sebuah bank dan kadang-kadang terlalu sesak sehingga menyukarkan penduduk melakukan urusan bank.

“Jadi dengan adanya bank bergerak ini, ia amat membantu, saya dapat berurusan dengan lebih mudah,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Monica Darie Daud berkata, memandangkan daerah ini berada di kawasan pedalaman, mereka agak sukar untuk mendapatkan kemudahan perbankan.

Katanya, sudah tentu dengan adanya cawangan bank bergerak ini, ia akan lebih memudahkan lagi orang ramai terutamanya pemilik akaun BSN.

“Kalau sebelum ni memang susahlah sebab cawangan di sini hanya ada satu. Setiap kali hujung bulan, orang terpaksa berbaris panjang.

“Jadi dengan ada yang cawangan bergerak ini, saya rasa lagi memudahkan pengguna-pengguna terutamanya rakyat Sipitang,” katanya.

Menurutnya, dia berharap program ini akan diperluaskan lagi bagi kemudahan penduduk terutamanya ketika pandemik Covid-19 ketika ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|