Saya tidak letak jawatan – Dr Yusof

Saya tidak letak jawatan – Dr Yusof

Kota Kinabalu: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, menafikan meletak jawatan sebagai ADUN berdasarkan surat peletakan jawatan yang diserahkan kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.

Katanya, surat berkenaan dibuat tanpa tarikh ketika dipilih sebagai calon Parti Warisan Sabah (WARISAN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16, September tahun lalu dan hanya dicop dengan tarikh baharu, 8 Oktober 2021 selepas beliau mengumumkan keluar daripada parti itu pada tarikh yang sama.

Surat itu katanya tidak sah kerana beliau sudah membuat keputusan untuk membatalkan surat dan akujanji yang pernah dilafazkannya ketika dicalonkan oleh WARISAN di kerusi DUN Sindumin pada PRN-16, termasuk video yang dirakam berhubung perkara itu.

“Surat peletakan jawatan itu tidak sah kerana saya sudah menghantar surat kepada Speaker DUN pada 11 Oktober lalu mengatakan saya sudah menarik balik surat berkenaan.

“Jadi surat peletakan jawatan itu tidak sah. Begitu juga dengan surat akujanji dan video yang memaparkan saya mengucap sumpah selepas dipilih sebagai calon WARISAN, semua saya tarik balik, jadi semua itu batal dan tidak sah lagi,” katanya.

Beliau berkata, kesnya sama seperti ADUN Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir yang keluar daripada WARISAN pada Februari lalu, yang turut mengambil tindakan sama selepas WARISAN menggunakan surat dibuat pada tahun lalu untuk meminta kerusi disandangnya dikosongkan.

Dr Yusof yang juga bekas Ketua Penerangan WARISAN, bagaimanapun berkata beliau menyerahkan isu itu kepada pihak yang berkuasa selain bersedia berdepan dengan apa saja tindakan diambil WARISAN.

Beliau mengumumkan meninggalkan WARISAN dan menjadi ADUN Bebas yang menyokong kerajaan sedia ada pada 8 Oktober lalu bersama beberapa Ketua Penerangan dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Bahagian WARISAN atas kehendak sendiri tanpa paksaan atau dorongan daripada mana-mana pihak.

Katanya, beliau tidak mahu terus berpolitik sejajar nasihat Yang di-Pertuan Agong dan Yang di-Pertua Negeri Sabah meminta semua pemimpin bekerjasama tanpa mengira politik bagi memerangi pandemik Covid-19 dan membantu rakyat seperti dizahirkan dalam pembukaan persidangan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, baru-baru ini.

Jelasnya, keputusan itu dibuat sendiri atas pertimbangan bahawa beliau boleh memberi lebih tumpuan kepada kerjasama dengan kerajaan dan berkhidmat kepada rakyat di Sindumin atas kapasiti sebagai ADUN Bebas.

Dr Yusof juga menjelaskan bahawa beliau tidak dipengaruhi sesiapa untuk meninggalkan WARISAN dan tidak memujuk pemimpin lain dalam parti itu untuk mengikut menyertai atau mengikut jejaknya.

Sebelum ini, Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mendakwa Dr Yusof cuba mempengaruhi pemimpin lain untuk keluar meninggalkan parti dengan tawaran jawatan dan wang.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata WARISAN akan menggunakan surat akujanji dan rakaman video Dr Yusof ketika dipilih sebagai calon pada PRN-16 untuk mengambil tindakan terhadapnya selepas meninggalkan parti.

Mengulas lanjut, Dr Yusof berkata semua tuduhan itu adalah fitnah dan menjelaskan beliau tidak mahu bergaduh dengan sesiapa dan berharap WARISAN menerima hakikat apa yang sudah berlaku.

“Saya tidak mahu gaduh-gaduh dengan WARISAN atau mana-mana pihak, terima sajalah hakikat apa yang sudah berlaku dan buat kerja kita masing-masing,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|