Ratusan lubang dan terowong, bongkar perlombongan emas haram

Ratusan lubang dan terowong, bongkar perlombongan emas haram

Lahad Datu: Ratusan lubang dan terowong di sepanjang lapan kilometer Sungai Bole, Hutan Simpan Ulu Segama Malua, di sini.

Itu kesan hasil aktiviti melombong emas secara haram yang berjaya dibongkar Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Sabah (JPS), Jabatan Hidupan Liar (JHL) dan Tabung Hidupan Liar (WWF).

Lebih mengejutkan lagi apabila kegiatan berkenaan dipercayai sudah mula dilakukan sejak abad lalu.

Timbalan Komander PGA Briged Sabah, Asisten Komisioner Toipi Lamat berkata, kegiatan itu pertama dikesan di Ladang Ongkor, pada 14 Ogos lalu.

Katanya, pasukan operasi terpaksa menempuhi perjalanan sehingga lapan hari untuk sampai ke sungai berkenaan.

“Hasil operasi, kita berjaya menemui lokasi aktiviti melombong emas secara haram di sepanjang kilometer satu hingga kilometer lapan di Sungai Bole.

“Terdapat 103 lubang dan terowong yang aktif dipercayai baharu dikorek dan jumlah ini tidak termasuk lubang yang wujud di sepanjang lapan kilometer sungai berkenaan untuk aktiviti melombong emas yang dikatakan mula sejak tahun 1990-an,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Toipi berkata, susulan daripada penemuan itu, pihaknya terus memusnahkan enam kawasan termasuk 14 pondok yang dijadikan penempatan sementara bagi pekerja pelombong haram.

Katanya, pasukan operasi terpaksa keluar dari kawasan berkenaan pada 21 Ogos lalu dengan melalui jeram semata-mata untuk membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

“Susulan daripada penemuan itu juga, pasukan yang diketuai oleh saya sendiri bertindak masuk semula ke kawasan itu untuk melakukan siasatan dan penggeledahan secara teliti.

“Hasil tindakan itu, kita menemui tiga ‘dump’ yang mengandungi barang makanan, peralatan dapur, barangan peribadi dan peralatan melombong emas di kawasan berkenaan.

“Dump terakhir yang mengandungi alat senjata api seperti bakakuk dan peluru hidup yang disimpan agak jauh dari penempatan ditemui pada kali keempat pasukan masuk ke kawasan berkenaan iaitu pada 8 Oktober lalu,” katanya.

Toipi berkata, setakat ini tiada tangkapan dapat dilakukan kerana pelombong haram berkenaan sudah keluar dari kawasan itu lebih awal sebelum serbuan dibuat.

Katanya, berdasarkan kepada penemuan barangan wanita di kawasan itu, pihaknya percaya aktiviti melombong emas ini turut disertai oleh lebih daripada dua wanita.

“Namun siasatan masih diteruskan bagi mengenalpasti individu yang terbabit. Hasil risikan sebelum ini, kita percaya setiap satu kumpulan pelombong berjaya menghasilkan sehingga empat kilogram emas setiap kali aktiviti melombong dilakukan.

“Oleh itu, pasukan Tiger Platun merancang untuk melakukan lebih kerap latihan dalam perkhidmatan di kawasan ini selain cuba bekerjasama dengan pihak JPS sendiri bagi menghalang aktiviti ini berterusan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|