Kota Kinabalu: Isu gangguan bekalan air bersih di kawasan Tanjung Aru dan sekiranya sudah diselesaikan dan bekalan pulih seperti sedia kala.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata ganguan berlaku disebabkan paip pecah di Kampung Tanjung Aru.
Katanya, Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) sudah memperbaiki paip terbabit dan bekalan air dapat disalurkan semula.
Beliau menjelaskan memang berlaku tekanan air rendah sejak tanah runtuh di Kampung Kopungit pada awal September lalu yang menjejaskan tangki simpanan air berkapasiti lima juta liter sehari (MLD) yang menyebabkan bekalan air ke Tanjung Aru berkurang separuh.
Kerosakan paip air di Tanjung Aru sudah dibaiki Jabatan Air Negeri Sabah (JANS).
“Bencana alam sukar kita ramalkan ini termasuklah kawasan tangki Air Kopungit yang terlibat dengan runtuhan itu, bagaimana pun pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah membaiki cerun terlibat yang kini dalam pelaksanaan,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Kerja Raya berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Aru, Datuk Junz Wong yang mendakwa JANS tidak melakukan sesuatu untuk mengatasi masalah cerun runtuh yang membabitkan tangki simpanan air di Kopungit dan gangguan air di Tanjung Aru.
Tambah Bung ada beberapa faktor yang turut menjejaskan bekalan air bukan sahaja di kawasan Tanjung Aru malah di kawasan lain sekitar Kota Kinabalu dan Penampang akibat berlaku banjir baru-baru ini.
Kejadian itu katanya turut menjejaskan kerja merawat air di Loji Rawatan Air (LRA) Kasigui yang membekal air ke sekitar Penampang dan Kota Kinabalu.
“Untuk menangani masalah ini, tindakan jangka pandek agar bekalan air tidak begitu membebankan pengguna khususnya di kawasan Kota Kinabalu dan sekitarnya, kita terpaksa membuat catuan air memandangkan bekalan air bersih tidak mencukupi berbanding pengguna yang semakin meningkat,” katanya.
Bung Moktar berkata kerajaan mempunyai rancangan jangka pendek dan jangka panjang untuk menangani krisis air di negeri ini.
“Sudah tentu jika kita membuat perancangan yang teliti mengenai bekalan air di negeri ini, perkara yang berlaku pada hari ini mungkin dapat kita elakkan,” katanya.
Mengulas dakwaan Junz yang mengatakan masalah seumpama itu tidak berlaku ketika kerajaan WARISAN memerintah, Bung Moktar berkata Junz ternyata berbohong kerana masalah air di Sabah bukan baharu.
Masalah itu katanya sudah berlarutan dan WARISAN tidak pernah berbuat sesuatu untuk menambah baik bekalan air bersih di Sabah ketika ia memerintah.
“Semasa kerajaan WARISAN memerintah pun kejadian gangguan bekalan air besih berlaku, namun kita tidak nampak apa yang mereka lakukan,” katanya.
Menurut Bung selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap bekalan air di Sabah, beliau sudah mengarahkan kajian untuk memperbaiki dan menyelesaikan isu bekalan air di Sabah.
“Kita sedang menunggu laporan lengkap daripada perunding dilantik bagi menilai dan memperincikan langkah holistik seharusnya dilakukan dalam menangani masalah bekalan air yang sering membelanggu penduduk dan tindakan peringkat demi peringkat yang akan kita laksanakan,” katanya.
-Deasoka