Suspek pecah rumah ditahan

Suspek pecah rumah ditahan

Tawau: Seorang lelaki ditahan polis dalam tempoh kurang dari 24 jam selepas memecah masuk sebuah rumah di Merotai, di sini, semalam.

Lelaki terbabit ditahan sepasukan anggota dan pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau dan Balai Polis Bombalai yang menjalankan siasatan selepas menerima laporan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, suspek berjaya ditahan dalam operasi yang dijalankan di Kampung Haji Matahir.

Katanya, suspek yang memandu Proton Saga putih ditahan apabila dilihat dalam keadaan panik selepas menyedari kehadiran polis.

“Dalam operasi yang dijalankan di Kampung Haji Matahir, polis menahan kereta jenis Proton Saga berwarna putih yang dipandu suspek.

“Suspek yang panik dengan kehadiran polis cuba lari namun berjaya ditangkap selepas berlaku sedikit pergelutan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Peter berkata, hasil pemeriksaan di dalam kenderaan, polis menemui dua buah beg berisi barang kemas dipercayai hasil daripada kegiatan pecah rumah.

Katanya, siasatan lanjut polis mendapati suspek terbabit dalam sekurang-kurang empat kes pecah rumah dan kedai.

“Setakat ini, empat kes pecah masuk rumah dan kedai berjaya diselesaikan dengan tertangkapnya suspek terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. Suspek juga memiliki rekod jenayah lampau iaitu Seksyen 448 Kanun Keseksaan melakukan pencerobohan dan Seksyen 457 akta sama,” tegasnya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|