Kota Kinabalu: Peratusan kes sporadik atau tidak diketahui punca dilihat semakin bertambah dengan sebanyak 39 peratus dikenal pasti daripada 639 kes baharu Covid-19 di Sabah pada hari ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata kes sporadik berlaku disebabkan kelalian tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika bergaul atau berada di khalayak ramai.
“Peralihan negeri Sabah ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Nasional (PPN) yang membenarkan lebih banyak aktiviti sosial dan ekonomi berkemungkinan akan meningkatkan risiko jangkitan virus secara sporadik.
“Berikutan itu, adalah amat diharapkan keseluruhan masyarakat lebih bertanggungjawab dalam mematuhi semua SOP bagi mengelak jangkitan virus Covid-19.
“Pembukaan semula sempadan daerah dan peralihan Sabah ke Fasa 3 PPN meletakkan tanggungjawab ke atas setiap orang untuk menjadi benteng barisan hadapan dalam usaha kita membanteras virus Covid-19,” katanya dalam kenyataan, petang ini.
Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, berkata keberkesanan pengambilan vaksin dapat dilihat berdasarkan kategori pesakit yang dilaporkan setiap hari.
Katanya, individu yang sudah divaksin lengkap memiliki imuniti yang lebih tinggi dan jika dijangkiti hanya akan berada dalam Kategori 1 dan Kategori 2.
“Hari ini cuma dua orang pesakit dalam Kategori 5 dan lima orang dalam Kategori 4. Pesakit dalam dua kategori ini adalah mereka yang memerlukan penjagaan rapi kesan jangkitan virus Covid-19. Dalam masa yang sama mereka juga berkemungkinan mengalami penyakit lain atau belum menerima vaksin.
“Cuma tiga orang dalam Kategori 3, manakala 546 orang (85.5 peratus) dalam Kategori 2 dan 56 orang (8.8 peratus) dalam Kategori 1. Mereka dalam Kategori 1 lazimnya tidak menunjukkan sebarang simptom jangkitan dan mereka dalam Kategori 2 pula mengalami simptom ringan seperti batuk, demam atau selesema,” katanya.
Sementara itu, Masidi berkata secara keseluruhan jumlah kes baharu di Sabah hari ini adalah lebih rendah berbanding semalam.
Jelasnya, jumlah kes baharu yang didaftar ialah 639, menunjukkan penurunan sebanyak 81 kes berbanding 720 kes yang dilaporkan semalam.
“Daripada 639 kes itu, sebanyak 350 kes atau 55 peratus adalah kes yang berlaku dalam tempoh 24 jam yang lalu. Selebihnya adalah kes yang didaftar lewat sekurang-kurangnya dua hari selepas keputusan saringan diketahui.
“Antara daerah yang terlibat ialah Kota Kinabalu yang mencatatkan 76 kes lewat didaftar dua hari atau lebih setelah keputusan saringan diketahui, Penampang (44 kes), Kota Belud (49 kes) dan Papar (21 kes).
-Deasoka