Saya janji Tuaran tidak ketinggalan – Hajiji Noor

Saya janji Tuaran tidak ketinggalan – Hajiji Noor

Tuaran: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memberi jaminan daerah Tuaran tidak akan ketinggalan dalam arus pembangunan negeri menerusi pelbagai usaha yang diambil kerajaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman itu, berkata Tuaran tetap mendapat perhatiannya terutama usaha mengatasi isu kemudahan asas yang menjejaskan keselesaan rakyat.

“Saya janji Tuaran tidak akan ketinggalan, usaha melaksanakan program untuk kebaikan rakyat di kawasan ini tetap dilaksanakan.

“Banyak yang sudah dirancang di daerah ini, antaranya kerja menaik taraf jalan raya dari Bulatan Berungis akan dilaksanakan pada tahun depan bagi mengelak kesesakan yang berlaku di laluan itu ketika ini.

“Begitu juga penyambungan paip air dari Kampung Ambong, Kota Belud ke Kampung Baru-Baru, Lok Nunuk dan Penimbawan akan dilaksanakan tahun depan.

“Lebuhraya Pan Borneo bagi laluan Serusop ke Kota Belud juga akan dimulakan tahun depan,” katanya ketika merasmikan Persidangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tuaran, di sini, hari ini.

Sementara itu, Hajiji berkata kerajaan negeri juga akan memperkasa pentadbiran daerah di seluruh Sabah dengan menambah jawatan Penolong Pegawai Daerah (ADO) bermula Januari depan.

Katanya, penambahan jawatan itu bagi membantu Pegawai Daerah (DO) melaksanakan pelbagai program yang dirancang di setiap deerah.

Terdahulu, Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah berkata, beliau memperkenalkan halatuju Sabah Maku Jaya (SMJ) sebagai landasan untuk kerajaan membantu rakyat.

“SMJ menggariskan pelbagai aspek yang menjadi keutamaan untuk dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Walaupun pelbagai rintangan dan cabaran, GRS berjaya menyusun gerak kerja bagi menjayakan SMJ termasuk untuk memulihkan ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

“InsyaAllah Sabah akan bangkit semula dan kita dapat memajukan ekonomi rakyat,” katanya.

Katanya, beliau yakin dasar mesra pelabur yang dilaksanakan kerajaan akan mempercepat pemulihan eonomi.

Malah, katanya ramai pelabur sudah menyatakan minat untuk melabur dan sudah menjalin memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan dan syarikat tempatan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|