GRS siap sedia rampas Tuaran daripada UPKO

GRS siap sedia rampas Tuaran daripada UPKO

Tuaran: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) meletakkan keyakinan untuk merampas kerusi Parlimen Tuaran daripada Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata keyakinan itu berdasarkan sokongan masyarakat pribumi dan orang asal Bumiputera terhadap gabungan berkenaan yang semakin kukuh.

Jelasnya, sokongan itu boleh dilihat berdasarkan peningkatan jumlah ahli dan penubuhan semakin banyak cawangan parti gabungan GRS, khususnya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang diketuainya.

“Ramai yang memohon untuk menjadi ahli parti dan menubuhkan cawangan. Di Tuaran saja sebanyak 350 cawangan baharu BERSATU akan ditubuhkan..

“Ini cukup hebat, sayapun tidak sangka banyak cawangan ditubuhkan dan mudah-mudahan mereka faham perjuangan yang dibawa BERSATU.

“Dengan perkembangan ini saya yakin Parlimen Tuaran mampu dimenangi GRS pada PRU akan datang,” katanya ketika menyempurnakan Persidangan BERSATU Bahagian Tuaran, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Hajiji turut menerima 800 permohonan daripada bekas ahli UPKO untuk menyertai BERSATU, masing-masing 400 dibawa bekas ahli jawatan kuasa (AJK) UPKO bahagian Tuaran, Lausop Bungkaris dan 100 lagi dibawa bekas Pemuda UPKO Tambalugu, Jo Sabastian.

Beliau turut menerima 300 borang permohonan menyertai BERSATU daripada Ahli Muda Parlimen Malaysia, Mohd Shafik Sabdali.

Hajiji yang juga Ketua Bahagian BERSATU Tuaran berkata soal calon yang akan mewakili GRS akan dibincangkan bersama rakan parti dalam gabungan berkenaan.

“Dalam perkara ini, kita akan bincang dengan rakan dalam GRS untuk pilih calon dalam kalangan gabungan untuk kita pertaruhkan pada PRU akan datang.

“Saya yakin dengan sokongan ramai daripada kaum pribimi dan orang asal Bumiputera di Tuaran, GRS akan merampas kerusi Parlimen Tuaran daripada UPKO,” katanya.

Berikutan itu, katanya BERSATU dan GRS perlu memperkuatkan parti bagi memastikan perjuangan yang dibawanya diterima rakyat.

Ketika ini Parlimen Tuaran disandang Presiden UPKO yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri ketika kerajaan Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Madius Tangau.

Madius memenangi kerusi berkenaan atas tiket Barisan Nasional (BN) pada PRU 2018 sebelum UPKO meninggalkan BN dan menyertai WARISAN bagi membentuk kerajaan negeri pada masa itu.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|