BERSATU akan bincang usul hadkan tempoh jawatan Ketua Menteri dalam GRS

BERSATU akan bincang usul hadkan tempoh jawatan Ketua Menteri dalam GRS

Tuaran: Cadangan untuk mengehadkan jawatan Ketua Menteri yang diusulkan pada persidangan bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah akan dibawa ke mesyuarat Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk diteliti secara terperinci.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata usul itu yang mencadangkan supaya jawatan berkenaan dihadkan kepada dua penggal boleh dilaksanakan jika semua pihak, khususnya rakan parti dalam GRS bersetuju.

“Usul ini kita akan bawa dalam mesyuarat GRS dan jika dipersetujui, kita akan bawa kepada kerajaan untuk ditimbangkankan.

“Perkara ini membabitkan pindaan Perlembagaan Negeri, jadi ia perlu diteliti secara terperinci oleh semua pihak termasuk rakan parti dalam GRS.

“Selepas itu barulah kita boleh meneruskan proses yang sewajarnya berhubung dengan cadangan ini,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Persidangan BERSATU Bahagian Tuaran, di sini, hari ini.

Usul berkenaan dibentang dan diluluskan BERSATU Tuaran, manakala semalam usul yang sama turut diluluskan pada Persidangan BERSATU bahagian Kudat, Penampang, Papar, Kimanis, Tenom, Pensiangan, Ranau, Sandakan, Libaran, Batu Sapi dan Tawau yang bersidang semalam.

Mengenai cadangan mendaftarkan GRS menjadi gabungan politik rasmi, Hajiji yang juga Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah dan Pengerusi GRS, berkata cadangan itu juga perlu dibincangkan bersama pimpinan GRS.

Beliau menyifatkan cadangan itu adalah sesuatu yang baik dan boleh dipertimbangkan untuk dilaksanakan namun perlu dibincangkan bersama rakan pemimpin parti dalam GRS.

“Ia adalah satu cadangan yang perlu diteliti dengan baik kerana kerajaan negeri didokong oleh kerajaan GRS. Apa saja yang baik untuk politik Sabah dan GRS kita akan teliti dengan sebaiknya,” katanya.

Hajiji turut menyambut baik maklum balas Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, semalam yang menyatakan kesediaan untuk membincangkan cadangan mendaftarkan GRS.

“Ini satu perkembangan yang baik kerana UMNO telah beri komen perkara ini. Sebab itu saya sebut cadangan ini perlu dibawa dalam mesyuarat GRS. Kalau ia baik untuk GRS kenapa tidak kita lakukan,” katanya.

Cadangan mendaftarkan GRS sebagai gabungan politik rasmi di Sabah disuarakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan yang juga Pengerusi Kelab Backbencher GRS, Datuk Seri Salleh Said Keruak, baru-baru ini.

Katanya, ia sebagai langkah untuk mengukuhkan GRS selain mengelak perpecahan berikutan pertembungan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (PN) di Semenanjung yang dibimbangi memberi kesan kepada kestabilan politik negeri ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|