Covid-19 Sabah: Jadikan situasi di Labuan sebagai peringatan – Masidi

Covid-19 Sabah: Jadikan situasi di Labuan sebagai peringatan – Masidi

Kota Kinabalu: Rakyat Sabah diingatkan supaya mengambil peringatan terhadap apa yang berlaku di Labuan apabila pulau itu kini diisytiharkan semula sebagai zon merah Covid-19.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata situasi itu memberi gambaran jangkitan baharu boleh meningkat jika lalai mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

“Pengisytiharan Wilayah Persekutuan Labuan kembali kepada zon merah adalah satu peringatan kepada semua penduduk di Sabah bahawa ‘trend’ jangkitan boleh bertukar sekelip mata sekiranya kita lalai dan alpa mematuhi SOP,” katanya dalam kenyataan petang ini.

Labuan mencapai 100 peratus imuniti kelompok vaksin Covid-19 pada September lalu dengan kes harian menurun kepada hanya satu angka berbanding antara dua hingga tiga angka pada awal hingga pertengahan tahun ini.

Bagaimanapun, kes di pulau bebas cukai itu dilapor meningkat semula sejak kebelakangan ini dengan 22 kes baharu dilaporkan semalam selain lebih 150 kes dan dua kluster aktif.

Mengulas lanjut, Masidi berkata jumlah kes yang melambung tinggi akan membantut dan melambatkan usaha kembali kepada kehidupan seharian yang hampir normal seperti sebelumnya.

“Pelbagai langkah dan kawalan terpaksa dilaksanakan semula bagi mengawal dan mengurangkan jangkitan daripada terus bertambah. Sikap kita sendirilah yang menentukan sejauh mana dan secepat mana kita boleh kembali kepada kehidupan normal,” katanya.

Sementara itu, Sabah hari ini meneruskan ‘trend’ penurunan dengan jumlah kes baharu sebanyak 408 kes, berbanding 438 kes semalam.

Katanya, Kota Kinabalu kekal daerah yang mencatatkan jumlah kes baharu tertinggi di Sabah dengan 88 kes, bertambah tujuh kes berbanding semalam.

“Secara keseluruhan sebanyak 13 daerah mencatatkan penurunan dengan dua daripadanya menunjukkan penurunan dua angka iaitu Kota Belud (-15 kes) dan Beaufort (-10 kes).

“Sebanyak 11 daerah pula mencatatkan peningkatan kes termasuk Tuaran yang mencatatkan peningkatan (+12 kes), manakala tiga daerah kekal seperti jumlah kes semalam. Daerah Semporna, Kunak dan Nabawan pula tidak mencatat sebarang kes baharu,” katanya.

Statistik Covid-19 Sabah mengikut daerah:

Covid Update 28 November 2021
Sabah 408 (438)
Malaysia 4,239 (5,097)

Kota Kinabalu 88 (81)
Tuaran 60 (48)
Penampang 38 (33)
Kota Belud 33 (48)
Papar 25 (23)
Ranau 25 (29)
Beluran 14 (19)
Kota Marudu 14 (15)
Putatan 14 (19)
Kuala Penyu 11 (18)
Keningau 10 (19)
Beaufort 9 (19)
Sipitang 8 (8)
Kudat 8 (12)
Sandakan 7 (6)
Kinabatangan 7 (11)
Pitas 7 (1)
Tambunan 6 (3)
Lahad Datu 6 (5)
Tenom 6 (10)
Tawau 5 (10)
Telupid 3 (0)
Tongod 3 (0)
Kalabakan 1 (0)
Semporna 0 (0)
Kunak 0 (1)
Nabawan 0 (0)

Angka dalam kurungan adalah jumlah kes pada 27 November 2021

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|