Sawit Kinabalu terus releven sebagai jentera pelaburan Sabah

Sawit Kinabalu terus releven sebagai jentera pelaburan Sabah

Kota Kinabalu: Inisiatif Kumpulan Sawit Kinabalu yang mula melebarkan sayapnya dalam mempelbagaikan kegiatan perniagaan dilihat sebagai satu usaha bagi memastikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ini terus releven sebagai jentera pelaburan kerajaan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, mempelbagaikan kegiatan perniagaan seperti pembangunan hartanah, penternakan lembu pedaging dan burung walit adalah satu inisiatif yang baik.

Hajiji diiringi Bacho (kiri) menyempurnakan upacara memotong kek sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Kumpulan Sawit Kinabalu Yang Ke-25 di SICC, Kota Kinabalu.

“Tindakan ini juga bagi memastikan Kumpulan Sawit Kinabalu terus relevan sebagai sebuah jentera pelaburan kerajaan negeri.

“Inisiatif ini juga sejajar dengan agenda pembangunan Hala Tuju kerajaan negeri,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Sambutan Ulang Tahun Kumpulan Sawit Kinabalu Yang Ke-25, di Sabah International Convention Centre (SICC), di sini, hari ini.

Komitmen GLC itu dalam memperluaskan kegiatan perniagaannya turut menyaksikan Kumpulan Sawit Kinabalu menandatangani tiga Memorandum Persefahaman dalam bekerjasama dengan tiga organisasi yang berlatar belakangkan pendidikan dan pengeluaran gula dari tandan kosong buah sawit.

Sehubungan itu, Hajiji yang juga Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu turut berkata, kerajaan negeri amat mengalu-alukan semua pemain-pemain industri tidak kira GLC atau sektor swasta agar terus berani dan berusaha sehabis baik untuk mengambil peluang memperkembangkan perniagaan masing-masing terutamanya dengan sumber yang sedia ada di Sabah.

“Ini secara langsung dapat membantu dan menyokong usaha kerajaan negeri ke arah merealisasikan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ),” katanya.

Sementara itu, Hajiji turut memuji prestasi cemerlang Kumpulan Sawit Kinabalu yang berjaya mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang tertinggi dalam sejarah iaitu lebih RM320 juta pada tahun ini, berbanding unjuran sebanyak RM131 juta.

Katanya, pencapaian cemerlang Sawit Kinabalu itu amat membanggakan khususnya ketika penularan pandemik Covid-19 yang turut menjejaskan banyak sektor ekonomi di seluruh negara.

“Kerajaan negeri turut berbangga dengan pencapaian cemerlang Sawit Kinabalu yang kini berusia 25 tahun dan sentiasa menunjukkan prestasi yang terbaik.

“Kumpulan Sawit Kinabalu bukan saja ini telah menunjukkan prestasi yang baik dalam sektor perniagaan malah dalam menjalankan tanggungjawab sosial korporatnya (CSR),” katanya.

Sehubungan itu, Hajiji berharap Sawit Kinabalu akan terus mencapai prestasi cemerlang dalam perniagaan dan juga meneruskan aktiviti CSR mereka terutama ketika penularan pandemik Covid-19.

Hadir sama, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun; Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Ir Shahelmey Yahya dan Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu Datuk Bacho Jansie.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|