Gallery Walk mudahkan pelajar memahami pelajaran

Gallery Walk mudahkan pelajar memahami pelajaran

Labuan: Strategi pembelajaran Gallery Walk melalui kaedah perbincangan memberi ruang kepada pelajar untuk lebih memahami mengenai sesuatu perkara atau topik pembelajaran.

Menerusi strategi itu, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mutiara berjaya mengadakan program Gallery Walk Perdana di bawah kelolaan Penolong Kanan Pentadbiran, Hisham Abdul Aziz dari 15 November hingga 26 November lalu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Yusup Mohamad (dua kiri) menerima cenderamata daripada Yahya sambil diperhatikan Murni Jaafar.

Ketika merasmikan Program Gallery Walk Perdana itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Yusup Mohamad menzahirkan rasa syukur kepada semua warga SMK Mutiara kerana berjaya mengadakan satu program yang cukup bermakna kepada calon SPM 2021.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya mengaplikasi kemahiran aras tinggi seperti menganalisis, menilai dan membuat sintesis sepanjang sesi Program Gallery Walk Perdana itu berlangsung.

Dari kanan, Ihya Fatimah, Surelza, Esah Impit, Nurul Hidayah, Aminah dan Nurul Syazwanie.

“Sikap yang positif dan motivasi yang tinggi diperlukan dalam kegiatan pembelajaran kerana kedua-dua faktor ini berperanan sebagai pendorong seseorang pelajar untuk meneruskan aktiviti pembelajaran dan melakukan sesuatu tindakan yang dapat meningkatkan pencapaian mereka,” katanya.

Yusup berkata pada tahun lalu, pencapaian SPM di SMK Mutiara meningkat walaupun berdepan dengan situasi pandemik yang membimbangkan.

Suriani (kiri) membantu menaikkan semangat pelajar ketika pembentangan dijalankan oleh pelajar lain sambil diperhatikan Yusup dan Murni.

“Saya percaya pencapaian ini dapat diulang semula dan ditingkatkan untuk memastikan agar SMK Mutiara HEBAT, kekal terpahat di hati semua warganya,” katanya.

Program yang julung kali diadakan itu adalah hasil cetusan idea Pengetua SMK Mutiara, Yahya Ahmad Puteh.

Inspektor Thomas Anak Kian dan Sarjan Ismail bergambar bersama Hisham di Galeri Unit Kaunseling SMK Mutiara.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Labuan (MAIWP) yang menyumbang dana bagi menjayakan program berkenaan.

“Saya mahu program ini diteruskan pada masa hadapan dengan penglibatan lebih meluas daripada pelajar tingkatan yang berlainan,” katanya.

Turut hadir pegawai Sektor Pembelajaran, Jabatan Pendidikan Labuan, Penolong Pengarah Unit Sains Sosial, Murni Jaafar; Pegawai SISC+, Unit TVET, Juraidah Aman; Pegawai SISC+, Unit TVET, Mohd Daud Abdullah; Pegawai SISC+, Unit Sains & Matematik, Arni Samirati Abdol Samad; Pegawai SISC+, Unit Sains Sosial, Suriani Alland Rice Oxley dan Pegawai SISC+, Unit Bahasa, Dr Hyginus Lester Junior Lee.

Hadir sama Pegawai Perhubungan Sekolah dari IPD Labuan, Inspektor Thomas Anak Kian dan Sarjan Ismai.

Tujuh panitia dipilih untuk melaksanakan Program Gallery Walk Perdana iaitu Panitia Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains, Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.

Program yang berlangsung selama 10 hari itu melibatkan 160 pelajar Tingkatan Lima SMK Mutiara.

Sementara itu, Ketua Panitia Sejarah SMK Mutiara, Ihya Fatimah Rangkuti Ishak berkata program itu dapat melatih pelajar untuk berkomunikasi dengan berkesan melalui proses soal jawab, melatih kemahiran mendengar dan memupuk semangat kerjasama, kolaboratif serta pembinaan semangat berpasukan.

Panitia Pendidikan Islam pula mencuri tumpuan kerana berani mengetengahkan praktikal haji dan umrah dengan membina replika Kaabah selain memakai kain ihram bagi menggambarkan suasana sebenar ibadah berkenaan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|