Ahli UMNO Sabah makin bersemangat hadapi PRU-15

Ahli UMNO Sabah makin bersemangat hadapi PRU-15

Kota Kinabalu: Ahli UMNO di Sabah semakin bersemangat untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selepas kejayaan parti itu dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata kejayaan itu turut membuktikan parti berkenaan dan Barisan Nasional (BN) masih relevan selain terus menjadi pilihan rakyat.

Sehubungan itu, katanya parti itu perlu mengekalkan momentum dan gerak kerja jentera yang diatur serta dilaksanakan sejak beberapa tahun bagi memastikan UMNO Sabah mencapai misi yang ditetapkan pada PRU-15 yang semakin hampir.

Jelasnya, semua jentera perlu diperkemaskan dan dimantapkan sementara menunggu tarikh penting pembubaran Parlimen sekali gus meletakkan jentera UMNO dan BN di hadapan walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.

“Kita perlu terus bekerja, parti kita (UMNO) mempunyai organisasi yang lengkap dari bahagian, Wanita, Pemuda, Puteri dan cawangan. Kompenan ini jika digerakkan secara bersepadu dan teratur akan memudahkan lagi gerak kerja kita menghadapi PRU-15

“Momentum kita ketika ini cukup baik, dalam beberapa siri PRK, PRN dan yang terkini PRN Melaka kita mencapai kejayaan cemerlang, namun kejayaan ini jangan terus melekakan kita.

“Sebaliknya, kita bukan sahaja perlu mengekalkan momentum yang ada tetapi kita juga perlu terus bekerja dan mendekati ahli di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata demikian dalam perutusanya sempena mesyuarat perwakilan UMNO bahagian yang bermula Sabtu lalu dengan didahului mesyuarat sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sebelum disusuli dengan mesyuarat perwakilan bahagian serentak di seluruh negara pada Sabtu depan.

Sementara itu, Bung Moktar yang juga Ketua UMNO Kinabatangan mengingatkan pemimpin UMNO Sabah di semua peringkat agar terus turun padang mendekati ahli dan rakyat.

Katanya, pemimpin perlu menyelami setiap masalah yang dihadapi oleh rakyat agar dapat dibantu atau disuarakan kepada pihak yang berkaitan.

“Selain turun padang, jentera kita perlu disusun rapi dan daftar keahlian perlu diperkemaskan. Kita juga mahu seberapa banyak cawangan ditubuhkan selain mengamalkan pintu terbuka kepada mereka yang ingin kembali dan berjuang bersama UMNO,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|