Polis cari waris, saksi kes maut langgar lari

Polis cari waris, saksi kes maut langgar lari

Kota Kinabalu: Polis memohon kerjasama orang ramai supaya membantu menyalurkan maklumat berhubung kes langgar lari yang mengakibatkan seorang lelaki maut dalam kejadian di Jalan Kepayan, di sini, awal pagi tadi.

Kejadian di hadapan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) itu dipercayai berlaku sekitar jam 3.40 pagi membabitkan seorang pejalan kaki tanpa identiti.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, Deputi Superintendan Jo Ak Hang berkata, kejadian disedari seorang pemandu yang kebetulan melalui jalan berkenaan.

Katanya, sebaik ternampak satu lelaki terbaring dalam keadaan berlumuran darah, pemandu kenderaan terbabit terus menghubungi polis menerusi talian MERS999 untuk memaklumkan kejadian berkenaan.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dan pegawai dikerah ke lokasi kemalangan dan mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.

“Tiada sebarang pecahan komponen kenderaan atau kesan tayar ditemui di sekitar lokasi kemalangan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jo berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh Dr Verelie Ann Yih dari Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) yang turut hadir membantu di lokasi kejadian.

Katanya, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui sebaliknya hanya sekeping gambar keluarga pada poket seluar mangsa.

“Mangsa tidak disyaki mabuk namun sampel darah akan diambil semasa bedah siasat untuk dihantar ke Jabatan Kimia bagi analisis alkohol dan dadah.

“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Menurutnya, sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik IPD Kota Kinabalu, Inspektor Nurul Farhana Fadzil ditalian 013-8090954.

“Waris atau mereka yang mengenali mangsa juga diminta berhubung terus dengan pegawai penyiasat bagi membantu siasatan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|