30 cawangan Kojasa Mart dibuka di seluruh negeri

30 cawangan Kojasa Mart dibuka di seluruh negeri

Kota Kinabalu: Kojasa Holdings Berhad, pengendali pasar raya mini Kojasa Mart milik syarikat pelaburan kerajaan negeri, Qhazanah Sabah Berhad (QSB) akan membuka sekurang-kurangnya 30 cawangan kedai di seluruh Sabah pada tahun depan.

Ketika ini, dua cawangan Kojasa Mart sudah beroperasi iaitu di Suria Inanam dan Anjung Selera, Likas, masing-masing dibuka secara rasmi pada 11 November lalu dan semalam.

Pengerusi Qhazanah Sabah Berhad (QSB), Datuk Seri Salleh Said Keruak meninjau pelbagai barangan jualan di Kojasa Mart Anjung Selera.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan) QSB, Joehary Ismail, berkata pembukaan lebih banyak cawangan Kojasa Mart itu akan dilakukan melalui program keusahawanan yang sama dengan skim francais.

Katanya, Kojasa Holdings akan membangunkan skim keusahawanan dengan sasaran mempelawa usahawan muda untuk menceburi kedai Kojasa Mart melalui program pelesenan pada masa depan di bawah Kojasa Trading Sdn Bhd.

“Kojasa Mart di Kota Kinabalu akan mempromosikan produk tempatan untuk mengembangkan perniagaan kecil dan sederhana (SME), manakala kedai yang akan dibuka di beberapa daerah menyediakan kedai runcit.

“Ini akan membantu menstabilkan harga barangan keperluan asas dan memastikan ia sentiasa mampu milik untuk golongan berpendapatan rendah.

“Pendekatan ini juga sejajar dengan misi utama QSB melaksanakan konsep Sabah Maju Jaya (SMJ) dengan memperkasa generasi muda melalui penyertaan dalam SME,” katanya pada pelancaran Kojasa Mart Anjung Selera, di sini, semalam yang disempurnakan Pengerusi QSB, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Hadir sama ialah Pengarah Eksekutif QSB, Mohd Shukor Abdul Mumin; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Ahmad Rizal Dahli dan Pengerusi Kojasa Holdings Berhad, Datuk Baharul Sawi.

Mengenai pembukaan cawangan kedua Kojasa Mart itu, Joehary berkata cawangan berkenaan menawarkan jualan barangan runcit kepada populasi pengguna yang besar di sekitar Likas, Luyang dan kawasan lain di bandar raya ini.

Pada masa sama, katanya cawangan Kojasa Mart di Suria Inanam menumpukan pembelian pukal secara dalam talian oleh vendor perniagaan mikro dan SME.

“Kedai baharu di Anjung Selera ini disasar untuk menyediakan pelbagai jenis barangan runcit termasuk produk tempatan sebagai satu cara untuk mengembangkan pasaran domestik dalam kalangan usahawan tempatan ” katanya.

Beliau berkata, Kojasa Mart di Anjung Selera turut menggunakan sistem pemantauan berpusat yang dibantu kepintaran buatan (AI) bagi menyediakan kemaskini bekalan secara langsung.

Katanya, sistem itu dilaksanakan dengan kerjasama QSB dengan syarikat tempatan, EPOST melalui satu memarandum yang ditandatangani pada 10 April lalu.

Jelasnya, selain memaksimumkan kecekapan dan membangunkan kemahiran pekerja, sistem pemantauan berpusat itu juga dapat mengurangkan risiko gangguan rantaian bekalan dan keperluan orang tengah.

Selain itu, katanya Kojasa Mart juga bekerjasama dengan usahawan tempatan dan perkhidmatan penghantaran KOJAX Sdn Bhd bagi memanfaatkan penggunaan aplikasi penghantaran kepada pelanggan dalam lingkungan 20 kilometer dari kedai Kojasa Mart.

Sementara itu, Kojasa Mart menawarkan pakej promosi sempena Krismas yang merangkumi pelbagai jenis barangan runcit berharga antara RM25 hingga RM100 bagi setiap pakej.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|