Sasar 30,000 penerima vaksin dalam sehari

Sasar 30,000 penerima vaksin dalam sehari

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri mensasarkan seramai 30,000 penerima suntikan vaksin Covid-19 dalam tempoh sehari bermula Julai depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, untuk tujuan itu, kerajaan akan membuka lebih banyak pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negeri.

Selain itu katanya, pihaknya juga akan melaksanakan program pendaftaran jangkau luar komuniti atau ‘outreach’ kepada penduduk di kawasan luar bandar atau pedalaman.

“Usaha ini dijangka akan membantu meningkatkan jumlah penduduk sebagai menerima vaksin Covid-19 di negeri ini.

“Setakat 13 Jun lalu, seramai 249,945 atau 8.5 peratus daripada 2.9 juta penduduk Sabah yang disasarkan sudah menerima dos pertama vaksin sejak Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dilancarkan 26 Februari lalu,” katanya ketika ditemui selepas melawat PPV Wisma Wanita, di sini, hari ini.

Hajiji berkata, untuk masa ini, kadar semasa penerima vaksin setiap hari adalah sekitar 13,000 orang.

Katanya, ia membabitkan keseluruhan 72 fasiliti kesihatan dan 23 PPV awam yang beroperasi bagi membantu program imunisasi ketika ini.

“Usaha ini sedang giat dilaksanakan dan mula diperluaskan kepada penduduk Sabah berusia 18 tahun ke atas.

“Universiti Malaysia Sabah (UMS) juga sudah membuka PPV dengan kapasiti 1,000 orang setiap hari bermula semalam,” katanya.

Hajiji berkata, pembukaan PPV di UMS adalah untuk memenuhi keperluan pensyarah dan pelajar universiti serta penduduk berhampiran.

“Beberapa PPV awam lain juga akan mula beroperasi pada bulan ini antaranya PPV Dewan Masyarakat Menggatal, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Dewan Serbaguna Libaran, dan Dewan Institut Pendidikan Guru (IPG) Balung, di Tawau,” katanya.

-Deasoka

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|