Sarawak permudah SOP untuk melancong

Sarawak permudah SOP untuk melancong

Mulu: Sarawak sentiasa terbuka menerima kemasukan pelancong tempatan dalam usaha merancakkan semula industri pelancongan yang terjejas disebabkan pandemik Covid-19.

Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Budaya Sarawak, Hii Chang Kee, berkata ia sejajar prosedur operasi standard (SOP) yang lebih longgar ditetapkan kerajaan negeri kepada individu yang ingin ke Sarawak termasuk untuk melancong.

“Sarawak kini terbuka kepada semua untuk datang melancong. Syarat utama untuk masuk ke negeri ini hanya wajib lengkap divaksinasi.

“Tiada lagi keperluan untuk kuarantin dan menjalani ujian calitan Covid-19. Individu hanya perlu memohon kebenaran masuk melalui applikasi enterSARAWAK, berikan maklumat pengenalan diri, rekod vaksinasi dan dokumen berkaitan tujuan kemasukan ke Sarawak.

“Sekiranya lulus, mereka sudah boleh datang ke negeri ini dan permohonan untuk kelulusan juga tidak mengambil masa yang lama kerana semuanya dilakukan secara dalam talian,” katanya ditemui media selepas Mulu And Responsible Tourism Talk, dekat sini, semalam.

Yang turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Dennis Ngau.

Mengulas lanjut, Chang Kee memaklumkan setiap individu juga perlu mengisi borang pengisytiharan kesihatan secara dalam talian 12 jam sebelum memasuki Sarawak.

Sementara itu, beliau berkata, kanak-kanak di bawah jagaan ibu bapa turut dibenarkan masuk ke Sarawak dengan syarat penjaga haruslah sudah menerima vaksin lengkap.

“Kita faham masih ramai kanak-kanak terutama di bawah 12 tahun belum divaksinasi. Oleh itu, kita menetapkan syarat lengkap vaksinasi itu kepada ibu bapa masing-masing.

“Sekiranya penjaga mereka memenuhi syarat, kanak-kanak boleh memasuki negeri ini tanpa perlu kuarantin dan bebas menikmati keindahan Sarawak,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|