Lelaki bawa barang kawalan tanpa permit ditahan

Lelaki bawa barang kawalan tanpa permit ditahan

Semporna: Seorang lelaki ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas didapati membawa barang kawalan tanpa permit dalam operasi di kawasan Laut Tanjung Pantau-Pantau, Pulau Bum Bum, di sini, kelmarin.

Dalam operasi jam 11.35 pagi itu, lelaki terbabit yang menaiki sebuah bot laju ditahan selepas dikesan dalam keadaan mencurigakan

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohamad Ismail berkata, hasil pemeriksaan terhadap bot laju berkenaan menemui minyak petrol tanpa permit.

Katanya, semua minyak petrol bersubsidi berkenaan disyaki cuba diseludup keluar ke negara jiran Filipina.

“Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM15,168.50 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Tangkapan dan rampasan kemudiannya dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna sebelum diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Semporna,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Sehubungan itu, Mohamad berkata, PPM Wilayah Empat Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang.

Katanya, maklumat boleh disalurkan secara terus ke talian 24 jam atau menggunakan aplikasi WhatsApp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0139391197.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|