Penunggang maut rempuh kenderaan Toyota Hilux

Penunggang maut rempuh kenderaan Toyota Hilux

Papar: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 8, Jalan Papar Baru – Kota Kinabalu, bukit Melinsung, di sini, awal pagi tadi.

Kejadian jam 3.30 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 20 tahun disahkan meninggal dunia oleh pembantu pegawai perubatan Hospital Papar.

Ketua Polis Daerah Papar, Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, siasatan awal mendapati, pemandu pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dalam perjalanan dari Tenom menuju ke Kota Kinabalu.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, sebuah motosikal jenis SYM yang datang dari arah Kota Kinabalu masuk ke lorong bertentangan jalan sebelum merempuh kenderaan berkenaan.

“Pemandu pacuan empat roda tidak dapat mengelak kerana motosikal itu disyaki bergerak laju menuruni jalan bukit Melinsung dan terlalu hampir dengan kenderaannya menyebabkan berlaku rempuhan itu.

“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pembantu pegawai perubatan Hospital Papar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Batholomew berkata, pemandu pacuan empat roda tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Siasatan lanjut juga mendapati kemalangan berpunca daripada kecuaian mangsa yang menunggang motosikal dengan laju ketika menuruni bukit dan masuk ke lorong bertentangan sebelum merempuh pacuan empat roda.

“Bagaimanapun siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|