Kota Kinabalu: Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) bakal menganjurkan Kejohanan Bola Sepak Piala Sabah bagi merebut piala Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.
Pertandingan yang sebelum ini dikenali sebagai Piala Ketua Menteri (KM) itu bakal diadakan bermula Januari depan membabitkan lapan zon.
Penolong Setiausaha Agung SAFA, Azman Mastar berkata, keputusan untuk mengubah nama kejohanan itu supaya ia dikenali sebagai Piala Sabah sudah ditetapkan pada Mesyuarat Jawatankuasa Pertandingan Tempatan SAFA, semalam.
Katanya, kejohanan itu membabitkan Zon Pantai Barat, Pantai Barat Utara, Pantai Barat Timur, Pantai Barat Selatan, Pantai Timur Utara, Pantai Timur Selatan, Pedalaman Atas dan Zon Tengah.
“Setiap zon terbabit akan menyediakan pasukan terbaik dengan memilih pemain dari daerah di zon masing-masing.
“Persiapan untuk menganjurkan kejohanan itu akan dilakukan sebaik saja Kejohanan SAFA Piala BMR B18 selesai bulan ini,” katanya ketika ditemui, semalam.
Azman berkata, kejohanan Piala Sabah adalah kejohanan penting dan salah satu pertandingan yang termasuk dalam kalendar penganjuran SAFA tahun depan.
Sementara itu, mengulas mengenai grand final Kejohanan SAFA Piala BMR pada 26-28 November ini, Azman berkata, upacara perasmian akan disempurnakan Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin di Stadium Likas, di sini, 27 November ini.
Katanya, semua lapan zon yang bertanding di peringkat akhir sudah melakukan persiapan masing-masing.
“Kita juga berharap semua pegawai dan pemain sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan selain garis panduan yang diberikan penerangan kepada pengurusan pasukan masing-masing.
“Kita mahu kejohanan ini berjalan dengan lancar bagi membolehkan panel pemilihan yang diketuai Pengarah Teknikal SAFA, Omar Maya Amat untuk mengenalpasti pemain-pemain muda berbakat sepanjang kejohanan ini.
“Ini adalah matlamat utama kita untuk mencungkil bakat-bakat muda untuk diserapkan dalam pasukan Piala Belia Sabah selain untuk memenuhi misi dan hala tuju Presiden SAFA untuk memajukan sukan bola sepak di Sabah,” katanya.
Azman berkata, selain daripada Piala BMR 2021 dan Piala Sabah tahun depan, SAFA juga dijangka menganjurkan kejohanan Piala SAFA, kejohanan antara kelab-kelab dan kejohanan bola sepak wanita selepas ini.
-Deasoka