Sang Badak bakal tampil lebih ‘gagah’ dalam Liga Super 2022

Sang Badak bakal tampil lebih ‘gagah’ dalam Liga Super 2022

Kota Kinabalu: Berada di kedudukan kesembilan dengan mengumpul 19 mata setelah tamat aksi Liga Super 2021 bukanlah keputusan yang baik dan diharapkan oleh peminat serta penyokong bola sepak Sabah terhadap pasukan kesayangan mereka, Sabah FC.

Di pihak pengurusan dan Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) juga sudah tentu tidak berpuas hati dengan pencapaian berkenaan kerana sekali lagi Sabah gagal kembali sebagai pasukan bola sepak disegani dengan sekurang-kurangnya berada dalam lingkungan lima pasukan terbaik daripada 12 pasukan yang tersenarai dalam aksi Liga Super kali ini.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee

Namun, setidak-tidaknya Sabah masih kekal bermain dalam Liga Super pada musim depan yang bermakna pasukan digelar Sang Badak itu masih berpeluang dan mempunyai harapan untuk kembali menyengat atau sekurang-kurangnya memperbaiki kedudukan yang dilakar pada musim ini.

Bibit-bibit ke arah itu sudah mula kelihatan sejurus tamat aksi Piala Malaysia yang menyaksikan Sabah mampu ke suku akhir pada November lalu berdasarkan percaturan yang dilakukan pengendali baharu Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee.

‘Aura’ Kim Swee selaku bekas Jurulatih Kebangsaan Bawah 23 yang juga bekas pemain Sabah ketika era kegemilangan pasukan pada awal 1990-an dijadikan sandaran untuk membawa Sabah kembali ke zaman kejayaannya lebih 20 tahun yang lalu.

Itu tentunya antara percaturan yang diambil kira Presiden SAFA, Datuk Seri Bung Moktar Radin ketika mengumumkan keputusan Sabah FC untuk mengambil khidmat Kim Swee bagi menggantikan Ketua Jurulatih dari Indonesia, Kurniawan Dwi Yulianto pada Oktober lalu.

‘Kepulangan’ Kim Swee dalam skuad Sang Badak turut mendapat reaksi positif peminat bola sepak Negeri Di Bawah Bayu yang meletakkan keyakinan terhadap kemampuan pemain berasal dari Melaka itu untuk mengubah imej Sabah FC daripada pasukan belasahan kembali kepada pasukan disegani.

Kim Swee dalam beberapa laporan media sebelum ini turut menjelaskan yang beliau mempunyai perancangan ‘baik’ untuk Sabah yang diyakini mampu melonjakkan kedudukan pasukan itu seperti diharapkan pengurusan Sabah FC dan pelan pembangunan bola sepak negeri digariskan pihak SAFA.

Percaturan Kim Swee tentunya bermula dengan pemilihan pemain baharu untuk memantapkan pasukan Sabah FC bagi menghadapi aksi Liga Super 2022 yang bakal bermula tidak lama lagi selepas tahun baharu 2022 membuka tirainya esok.

Apa yang menarik, nama-nama pemain yang bakal membarisi pasukan Sabah FC kali ini bukan pemain ‘biasa-biasa’, atau tepatnya adalah pemain berbisa, bertaraf bintang dan kebangsaan, sememangnya sesuatu yang ingin dilihat peminat bola sepak Sabah.

Bermula dengan Baddrol Bakhtiar, bekas kapten dan pemain tengah Kedah Darul Aman (KDA) FC, disusuli bekas rakan sepasukannya, Rizal Ghazali dan Dominic Tan yang sebelum ini bermain dengan Police Tero dalam Liga Thailand jelas menggambarkan kesungguhan Kim Swee untuk membawa Sabah bangkit kembali dalam arena bola sepak.

Ketiga-tiga pemain kebangsaan itu dijadual akan bergabung dengan barisan pemain lain untuk memulakan sesi latihan pasukan di Kota Kinabalu pada 10 Januari ini.

“Kita yakin dengan kehadiran tiga pemain itu nanti akan memperkukuhkan lagi kekuatan Sabah FC. Kita jangka mereka sampai pada 10 Januari depan,” kata Kim Swee menyatakan keyakinannya terhadap keupayaan ketiga-tiga pemain berkenaan.

Tidak cukup dengan itu, desas-desus turut bertiup kencang mengenai kemungkinan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat atau Apek yang sebelum ini bermain bersama Melaka United akan bersama Sabah FC pula pada musim baharu kali ini.

Jika menjadi kenyataan, gandingan dua penjaga gol baharu iaitu bersama Damien Lim yang sebelum ini beraksi bersama Negeri Sembilan FC pasti cukup kuat untuk memastikan gawang Sabah sukar dibolosi lawan dalam aksi Liga Super 2022.

Selain mereka, beberapa lagi pemain baharu yang sudah sah diikat bersama Sabah pada musim depan, antaranya dua pemain dari Sarawak United, penyerang Tommy Mawat dan pemain pertahanan, Mohd Badrul Affendy pasti menguatkan lagi bahagian serangan dan pertahanan Sabah.

Tidak ketinggalan Irfan Fazail, pemain tengah yang dipinjamkan daripada Johor Darul Ta’zim (JDT) bersama seorang lagi bekas pemain JDT II, Stuart John Wilkin dan bekas pemain UiTM FC, Dirga Surdi bakal mengubah penampilan Sabah dalam aksi Liga Super 2022.

Di samping pemain baharu, Kim Swee tetap memberi kepercayaan terhadap beberapa pemain Sabah FC musim 2021 untuk terus kekal dalam pasukan, antaranya pemain import dari Korea Selatan, Park Taesu dan Saddil Ramdani dari Indonesia.

Kim Swee turut mengekalkan pemain senior, Amri Yahyah; N Thanabalan dan Nazirul Naim Che Hashim, selain pemain tempatan, Alto Linus, Rawilson Batuil, Randy Baruh dan Ummareng Bacok.

Selebihnya, Kim Swee turut memberi peluang kepada pemain muda Sabah untuk memperkuat skuad Sang Badak, antaranya Mohd Ramzi Mustakim, Abd Hanafie Tokyo Abd Hasim, Mohd Nureizkhan Isa Japar, Mohamad Sahrizan Saidin, Gerald Gadit, Mohd Naaim Firdaus Stibin dan Azhad Harraz Arman.

Difahamkan juga, Sabah FC masih meneliti beberapa lagi pemain import bagi memperkuat Sabah FC musim 2022 termasuk seorang pemain berasal dari Asia Barat.

Dengan barisan pemain yang sudah sah berada dalam senarai kesebelasan utama Sabah FC bagi aksi Liga Super musim 2022 ketika ini, penyokong dan peminat bola sepak Sabah pastinya lebih yakin dengan kemampuan skuad Sang Badak untuk aksi musim baharu tahun 2022.

Sememangnya itulah harapan yang diberikan kepada pasukan Sabah FC sejajar dengan azam tahun baharu 2022 untuk melihat pencapaian Sabah khususnya dalam sukan bola sepak lebih baik berbanding apa yang dilakar pada 2021.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|