Kota Kinabalu: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sentiasa memantau sebarang kegiatan salah guna platform mengajar agama atas kepentingan politik di negeri ini.
Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, walaupun perkara itu berada di bawah bidang kuasa Pejabat Mufti namun dalam masa sama MUIS turut memainkan peranan memantau kegiatan seumpama itu.
“Pejabat Mufti memberikan perhatian mengenai perkara ini kerana kelayakan untuk membuat ceramah atau mengajar agama ada kriteria tertentu. Bukan semua terlepas (boleh mengajar) kerana perlu mendapatkan pentauliahan.
“Disamping itu, MUIS sentiasa memantau kegiatan mereka dan mudah-mudahan di Sabah tidak berlaku dan kalaupun berlaku, kita cari jalan untuk atasinya,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Pelancaran Buletin M-2Care, di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung langkah kerajaan Sabah mengenai isu penarikan semula tauliah aktivis politik yang mengajar agama di Selangor.
Mohd Arifin bagaimanapun berkata, setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang laporan membabitkan tenaga pengajar agama sebagai aktivis politik melakukan perkara sedemikian.
“Kita belum menerima sebarangan laporan atau aduan mengenai individu yang ditauliahkan mengajar perkara agama tetapi dalam masa sama mengambil kesempatan berpolitik,” katanya.
Turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, Datuk Datu Rosmadi Datu Sulai, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Saifulzaman Sangul dan Mufti Sabah, Datuk Bungsu @ Aziz Jaafar.
Sementara itu, Ariffin memaklumkan pihaknya sudah menerbitkan sebanyak 200 naskah buletin mengenai program WAM-2Care yang membabitkan jelajah Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas ke seluruh Sabah.
Jelajah itu adalah untuk menyampaikan bantuan ke sekolah agama negeri, sekolah tahfiz, madrasah, masjid dan surau sepanjang tahun 2020 dan tahun ini.
Mohd Arifin memaklumkan pihaknya merancang mahu menerbitkan naskah sama sebanyak empat kali setahun bermula tahun depan sebagai dokumentasi penting membabitkan semua aktiviti di bawah kementerian dan agensi berkaitan.
-Deasoka