Kaji semula kelulusan aktiviti kuari di Sungai Talangkai, Sepulut

Kaji semula kelulusan aktiviti kuari di Sungai Talangkai, Sepulut

Nabawan: Kerajaan diminta supaya mengkaji semula kelulusan aktiviti kuari yang sedang dijalankan di Sungai Talangkai, Sepulut, Pensiangan, di sini.

Ketua Cabang Keadilan Pensiangan, Raymond Ahuar berkata, beliau mengambil maklum berhubung kerja penggalian kuari yang sedang dilakukan di sungai berkenaan.

Katanya, ia bukan sahaja pandangannya secara peribadi namun ia adalah suara penduduk yang menyatakan tidak wajar kerja-kerja tersebut diluluskan.

“Sebagai makluman sungai berkenaan merupakan sumber utama penduduk di daerah kecil Pagalungan, Pensiangan. Selain menjadi sumber untuk mendapatkan bekalan makanan, sungai berkenaan juga mempunyai ikan bernilai tinggi yang menjadi sumber pendapatan penduduk kampung.

“Khazanah hidupan air yang terdapat di sungai yang berhubung terus dengan Sungai Kalimantan, Indonesia, ini antaranya ialah ikan pait, palian atau di Semenanjung dikenali sebagai ikan kelah atau empurau di Sarawak selain ikan Salarong atau Patin Sungai. Ikan ini mempunyai nilai yang sangat tinggi di negara ini.

“Penduduk juga turut membina tagal di beberapa sungai terbabit bagi memelihara khazanah yang ada di kawasan itu. Selain membantu dari segi pembangunan ekonomi penduduk, tagal ini juga memulihara sungai dan menjadi pembangunan sosial bagi penduduk Pagalungan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Raymond berkata, kerja-kerja menggali kuari itu telah merosakkan sungai dan alam sekitar serta memberi risiko terhadap sumber kehidupan penduduk tempatan.

“Ia jelas merosakkan ekosistem di kawasan berkenaan dan kerja-kerja ini perlu dihentikan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada kajian terperinci mengenai kesan pelaksanaan aktiviti kuari terhadap sumber penduduk dan alam sekitar telah dilakukan sebelum kerajaan negeri membenarkan syarikat tertentu menggali sungai berkenaan.

“Saya memohon Pejabat Daerah khususnya kerajaan negeri untuk menilai semula dan menghentikan kerja-kerja penggalian ini yang jelas merosakkan Sungai Talangkai, Sepulut.

“Saya berharap penduduk tempatan dan pemimpin daerah juga menjaga sungai yang ada di Pensiangan bagi memastikan sungai ini serta sumber didalamnya terpelihara dan menghasilkan pendapatan kepada penduduk,” katanya.

Raymond yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah berkata, keindahan sungai dan kawasan sekitar sepatutnya dipulihara oleh kerajaan melalui jabatan-jabatan berkaitan.

“Dengan adanya jalan raya yang menghubungkan kawasan ini dengan jalan utama, adalah lebih baik kerajaan bantu penduduk tempatan bangunkan kawasan ini sebagai pusat pelancongan dan pusat riadah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|