Bau busuk bawa penemuan mayat warga emas

Bau busuk bawa penemuan mayat warga emas

Kota Kinabalu: Bau busuk dari salah sebuah rumah di Flat Taman Kepayan Ridge, di sini membawa kepada penemuan mayat seorang wanita warga emas.

Wanita berusia 65 tahun itu ditemui kira-kira 10.30 pagi tadi selepas pintu rumah yang berkunci berjaya dipecahkan pasukan bomba.

Pasukan bomba membuka pintu yang terkunci sebelum menemui mangsa yang sudah meninggal dunia di dalam rumah. Pix Ihsan Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 10.20 pagi.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan tujuh anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dikerah ke lokasi kejadian.

“Bilik kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu menerima laporan daripada pihak polis untuk membuka pintu terkunci dari rumah yang mengeluarkan bau busuk.

“Pasukan Bomba bergegas ke lokasi dan berjaya membuka pintu terkunci menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, sebaik berjaya dibuka, pasukan operasi menemui seorang mangsa wanita di dalam rumah dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Katanya, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia dan mayat mangsa terus diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Pasukan bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan akhir sekitar kawasan bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 10.46 pagi.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|