Sabah urus alam sekitar secara lestari

Sabah urus alam sekitar secara lestari

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah sentiasa komited dan berada pada landasan yang tepat dalam menguruskan alam sekitar negeri ini secara lestari.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Joniston Bangkuai, berkata ia disokong amalan tadbir urus yang baik, instrumen perundangan yang berkesan, selain penguatkuasaan menyeluruh.

Pada masa sama, katanya program pendidikan dan kesedaran secara berterusan turut mengukuhkan lagi usaha ke arah memastikan alam sekitar negeri ini sentiasa terpelihara.

Beliau berkata, kualiti alam sekitar juga bertambah baik ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan pandemik Covid-19 yang membolehkan rakyat negara ini menikmati persekitaran lebih sihat termasuk udara yang bersih.

“Ini menunjukkan bahawa manusialah yang menjejaskan keseimbangan dan keharmonian alam tetapi alam itu sendiri mempunyai kuasa kendiri untuk sembuh.

“Cabaran bagi kita kini adalah untuk memulihkan kegiatan ekonomi tanpa mencetuskan semula kemerosotan kualiti alam sekitar.

“Justeru, bagi mendepani cabaran dan merungkai masalah pencemaran alam sekitar, sinergi antara agensi persekutuan dan negeri perlu terus digembleng melalui aktiviti penguatkuasaan yang menyeluruh dan mengekalkan momentum yang sedia ada,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB) berkata demikian pada Sambutan Hari Alam Sekitar peringkat negeri Sabah, di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Mohd Yusrie Abdullah; Pengarah Jabatan Alam Sekitar Sabah, Amirul Aripin; Pengarah Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Sabah, Vitalis J Moduyingdan Ketua Petronas Sabah and Labuan, Siti Ayu Haniza Abdul Wahab.

Joniston berkata kementeriannya turut menjalin kerjasama dengan agensi kerajaan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui pertandingan pengumpulan ‘household e-waste’ membabitkan 11 PBT terpilih di negeri ini.

PBT terbabit ialah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) serta Majlis Daerah di Penampang, Beaufort, Lahad Datu, Kudat, Sipitang, Beluran, Keningau dan Papar.

“Berikutan penganjuran program ini, kita lihat semakin banyak pusat pengumpulan ‘household e-waste’ yang diwujudkan.

“Ini sekali gus memudahkan orang awam untuk melupuskan sisa buangan elektrik dan elektronik daripada isi rumah mereka, seterusnya membantu melestarikan alam sekitar di peringkat komuniti bandar dan luar bandar,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|