Bomba berjaya pujuk lelaki cuba terjun dari menara elektrik

Bomba berjaya pujuk lelaki cuba terjun dari menara elektrik

Sandakan: Tindakan seorang lelaki yang dipercayai mahu membunuh diri dengan terjun dari tiang menara elektrik di Jalan Kampung Melayu, di sini, hari ini, tidak kesampaian selepas berjaya dipujuk anggota bomba.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, pasukan bomba dapat memujuk lelaki berusia 28 tahun itu sebelum lelaki terbabit turun melalui tangga dengan selamat.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.12 tengah hari.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan dikerah ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, seorang lelaki berada di bahagian atas menara elektrik dipercayai cuba untuk membunuh diri.

“Pasukan bomba kemudian memujuk sebelum lelaki terbabit dengan sendiri turun melalui tangga,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, lelaki itu kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Tiada kecederaan dilaporkan dan mangsa dalam keadaan selamat. Operasi tamat jam 12.50 tengah hari,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|