Ibu bapa mohon PdPR diteruskan hingga cuti sekolah, sesi bersemuka tahun depan

Ibu bapa mohon PdPR diteruskan hingga cuti sekolah, sesi bersemuka tahun depan

Kota Kinabalu: Ramai ibu bapa di negeri ini menyatakan tidak bersetuju dengan keputusan Kementerian Pendidikan mengenai pembukaan sekolah untuk sesi pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka mulai 22 November ini.

Kebanyakannya berpendapat lebih baik kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) diteruskan sehingga cuti sekolah bulan depan sebelum murid dan pelajar kembali ke sekolah seperti biasa pada tahun depan.

Ia mengambil kira cuti sekolah akhir tahun yang dijadual bermula pada 11 Disember depan iaitu tidak sampai tiga minggu lagi jika sekolah dibuka bermula 22 November ini.

Maklum balas itu disuarakan ibu bapa atau netizen melalui ruangan komen Facebook Deasoka susulan laporan pengumuman Kementerin Pendidikan mengenai pembukaan sekolah di Sabah, selain Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang, semalam.

Ada juga ibu bapa yang menyatakan keengganan untuk menghantar anak ke sekolah jika pembukaan sekolah untuk sesi pengajaran dan pembelajaran sepenuhnya diteruskan bermula 22 November ini.

“Tahun depanlah sya kasi sekolah anak ku..biarlah buka 22 ni,” kata seorang netizen yang menggunakan nama Salinah Masayu.

Komen netizen terbabit turut disokong beberapa netizen lain, termasuk ada yang menyatakan masih bimbang berikutan kes penularan Covid-19 yang masih tinggi.

Bagaimanapun, ada juga netizen yang menyokong keputusan Kementerian Pendidikan itu dengan alasan masyarakat perlu mula membiasakan diri hidup bersama virus Covid-19.

“Belajar hidup bersama virus Covid ini.. sampi selama lama x akan hilang.. virus sdh dlm komuniti…,” kata Graceilla Sandra.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan kelmarin, Kementerian Pendidikan mengumumkan murid Tahun 1 hingga Tahun 6 dan pelajar Kelas Peralihan serta Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 di Sabah, Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang akan kembali ke sekolah untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka mulai 22 November ini.

Ia susulan peralihan negeri terbabit dari Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) ke Fasa 4 PPN bermula 8 November.

Kenyataan itu juga menyebut tiada lagi kemasukan berperingkat mengikut tahap seperti diumumkan sebelum ini, namun kaedah penggiliran masih diteruskan bagi murid dan pelajar di sekolah harian kerajaan atau swasta.

Bagi sekolah berasrama, katanya semua pelajar datang ke sekolah serentak tanpa penggiliran seperti ditetapkan sebelum ini, namun pihak sekolah akan memaklumkan kepada ibu bapa mengenai perincian kemasukan pelajar ke asrama.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|