Penunggang motosikal maut tercampak

Penunggang motosikal maut tercampak

Lahad Datu: Seorang lelaki maut selepas tercampak ke jalan raya apabila motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah van di simpang Taman CL Jalan Asam, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 7.54 malam itu, penunggang motosikal berusia 39 tahun yang parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Lahad Datu.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, siasatan mendapati van dipandu seorang lelaki berusia 28 tahun itu dari arah Kota Kinabalu menuju ke Lahad Datu.

Katanya, sebaik tiba di simpang berkenaan, pemandu van membelok sebelah kanan dan pada masa sama motosikal jenis Honda APF125 yang datang dari hadapan lorong bertentangan dari bandar Lahad Datu cuba mengelak.

“Bagaimanapun disebabkan jarak yang terlalu dekat motosikal itu terus melanggar bahagian hadapan sebelah kiri van berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, penunggang tercampak di atas jalan raya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Rohan Shah berkata, penunggang motosikal parah dibahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu van tidak mengalami kecederaan.

“Mayat mangsa kemudian di bawah dari tempat kejadian menggunakan lori polis ke Hospital Lahad Datu.

“Hasil siasatan awal polis mendapati punca kemalangan disebabkan kecuaian pemandu van yang memasuki simpang jalan tanpa mengambil kira faktor keselamatan pengguna jalan raya hingga berlaku kemalangan.

“Bagaimanapun siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya sambil menambah mana-mana individu yang melihat kejadian ini boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Muhammad Rasul Ramlee di talian 089 – 881255 sambungan 414.

Sementara itu, Rohan Shah menasihatkan kepada pengguna jalan raya di daerah ini supaya sentiasa memandu dalam keadaan selamat, berhemah, berhati-hati.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|