Sabah terima pelaburan ketiga tertinggi

Sabah terima pelaburan ketiga tertinggi

Kota Kinabalu: Sabah menerima pelaburan bernilai RM4.4 bilion dalam sektor perkilangan yang diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia menjadikan Sabah sebagai negeri ketiga paling banyak menerima pelaburan dalam sektor perkilangan selepas Kedah (RM42.6 bilion) dan Selangor (RM4.6 bilion).

Hajiji mempengerusikan Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah ISB kali kedua di Menara Kinabalu.

Beliau berkata, sejajar dengan perkembangan itu, semua pihak perlu terus bekerja bersama untuk mengekalkan momentum dalam usaha untuk menarik lebih banyak pelaburan pada tahun mendatang.

Katanya, beliau mahu melihat lebih banyak sinergi atau kerjasama di antara agensi negeri dan Pusat untuk memperkasakan agenda pelaburan Sabah.

“Saya pernah mengatakan dalam mesyuarat pertama Invest Sabah Berhad (ISB) yang mana kita mahu semua halangan yang menjejaskan pelaburan ke Sabah dihapuskan kerana kerenah birokrasi dihadapi pelabur hanya menjejaskan usaha menarik pelaburan ke Sabah.

“Sehubungan itu, semua pihak perlu melakukan peranan masing-masing untuk menghapuskan halangan yang ada bagi memudahkan pelaburan,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat lembaga pengarah ISB di Menara Kinabalu, hari ini.

Turut hadir ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong; Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan, Datuk Rusdin Riman dan Ketua Pegawai Eksekutif ISB, Datuk Madiyem Layapan.

Sementara itu, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri, berkata Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dibentuk sebagai panduan agenda pembangunan yang dilaksanakan di negeri ini.

“Sehingga kini, kita sudah menandatangani tiga projek berimpak tinggi untu memacu inisiatif SMJ membabitkan pelaburan keseluruhan RM10 bilion iaitu Lok Kawi Resort City, fasiliti pembuatan kerajang tembaga dan pemprosesan kelapa bersepadu.

“Lebih banyak projek berimpak tinggi sudah dalam perancangan dan kita berharap dengan pelaburan ini yang datang dari pelabur luar dan tempatan, Sabah dan rakyatnya akan mendapat manfaatnya,” katanya.

Beliau berkata, walaupun berdepan cabaran disebabkan pandemik Covid-19 sejak tahun lalu, tumpuan kerajaan negeri untuk melaksanakan misi pembangunan negeri tidak pernah luntur.

“Kerajaan negeri mengambil pelbagai pendekatan untuk menangani kesan negatif pandemik dan menjana semula pertumbuhan ekonomi Sabah.

“Kita yakin pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan pelbagai pakej rangsangan oleh kerajaan persekutuan dapat membantu usaha pemulihan ekonomi Sabah.

“Sehubungan itu, sudah tiba masanya untuk kita bergerak ke hadapan untuk melaksanakan pelan yang dirancang,” katanya.

Terdahulu, Hajiji turut memberi penghormatan kepada bekas ahli lembaga ISB, mendiang Datuk Tan Kim Beng yang meninggal dunia awal tahun ini.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|