JBPM Sabah siap sedia kemungkinan bencana banjir

JBPM Sabah siap sedia kemungkinan bencana banjir

Kota Kinabalu: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah sentiasa bersiap sedia dengan pelan tindakan operasi untuk berdepan sebarang kemungkinan bencana banjir.

Pengarah JBPM Sabah, Md Ali Ismail berkata, pelan berkenaan dirangka hasil daripada penilaian dan kajian yang dijalankan terutamanya di kawasan berisiko tinggi.

Katanya, ia termasuk pelan pemetaan banjir dengan mengenalpasti kedudukan kemungkinan paras air dan lokasi berkumpul bagi mangsa-mangsa banjir untuk tujuan pemindahan.

“JBPM sentiasa diletakkan dalam keadaan bersiap sedia sepanjang masa termasuk kira-kira 40 aset bot di seluruh negeri.

“Malah JBPM juga sudah bersedia dengan 17 van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS), 12 kenderaan lori untuk pemindahan dan dibantu 45 kenderaan utiliti 4×4,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Md Ali berkata, lebih 90 peratus aset-aset ini berada dalam keadaan bersiap sedia dan boleh digerakkan pada bila-bila masa.

Katanya, dari aspek keanggotaan pula, JBPM Sabah yang mempunyai kekuatan 1,000 anggota dan pegawai turut bersedia digerakkan sepanjang masa.

“Kita mempunyai kemampuan seramai 350 anggota dan pegawai bertugas pada setiap masa.

“Namun sekiranya keadaan memaksa dan memerlukan pertambahan keanggotaan, ia boleh dikerahkan kembali bertugas dalam tempoh 12 jam,” katanya.

Md Ali berkata, kekuatan dan kemampuan juga tidak terhad kepada JBPM disebabkan adanya pelan komunikasi bagi memastikan integrasi perhubungan antara agensi keselamatan terlibat sentiasa wujud.

Sehubungan itu, Md Ali menasihati orang dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan situasi semasa dan kekal tenang serta patuh kepada arahan pihak berkuasa sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|