APM tangkap dua ular sawa batik

APM tangkap dua ular sawa batik

Kota Kinabalu: Seekor ular sawa batik seberat 50 kilogram berjaya ditangkap Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) di Sekolah Tunas Bakti, Jalan Tuaran, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, kehadiran reptilia berkenaan disedari pengawal keselamatan yang bertugas yang terus menghubungi APM untuk mendapatkan bantuan segera.

Ular sawa batik seberat 50 kilogram berkenaan berjaya ditangkap pasukan APM.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Kinabalu, Kapten (PA) Bonnie Madisun, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.01 tengah malam.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan lima anggota dan pegawai APM dikerah ke lokasi penemuan.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) menangkap ular berkenaan yang berada dalam parit sekolah.

“Setibanya di lokasi, pasukan operasi mendapati ular berkenaan berada dalam parit sekolah dan usaha menangkap reptilia berkenaan terus dijalankan.

“Ular yang dianggarkan seberat 50 kilogram dan sepanjang empat meter kemudiannya berjaya ditangkap,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Bonnie berkata, pihak menerima satu lagi panggilan kecemasan menangkap ular kira-kira jam 2 pagi selepas itu di kawasan Tanjung Aru.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya menemui seekor lagi ular sawa sepanjang 2.5 meter.

“Ular yang dianggarkan seberat 10 kilogram berkenaan berjaya ditangkap di belakang kawasan rumah,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|