Sabah Sarawak terima peruntukan tertinggi – PM

Sabah Sarawak terima peruntukan tertinggi – PM

Kota Kinabalu: Kerajaan Pusat memperuntukkan RM4.66 bilion kepada Sabah dan RM4.47 bilion kepada Sarawak untuk peruntukan pembangunan di bawah pelan pusingan pertama 2021, Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12).

Peruntukan itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam ucapannya pada sambutan Hari Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah, di sini, malam ini.

Beliau berkata, penyaluran peruntukan itu akan dibentangkan di Parlimen pada 27 September ini.

“Peruntukan pembangunan ini adalah antara yang tertinggi berbanding negeri-negeri lain. Ini adalah bukti komitmen tinggi kerajaan ke arah meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan penduduk di Sabah dan Sarawak.

“Dengan prinsip ‘Bekerja Bersama Rakyat’, kerajaan akan terus memberi fokus kepada penduduk di Sabah dan Sarawak, agar kemakmuran yang dikecapi pada hari ini dapat dinikmati secara saksama.

“Pada masa yang sama, saya yakin dan percaya bahawa Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sentiasa mendengar keluh kesah rakyat, kami sedaya upaya akan mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Majlis malam ini turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang mewakili Ketua Menteri Sarawak.

Hadir sama ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim Yahya; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa dan Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2021, Datuk Seri Bung Moktar Radin.

Sementara itu, Ismail Sabri mengakui setiap kali menjelang Hari Malaysia, persoalan mengenai rakan setara atau ‘equal partners’ sering dibangkitkan.

Berikutan itu, jelasnya, kerajaan Pusat melalui Majlis Khas Perjanjian Malaysia (MA63) berjanji memberi perhatian terhadap isu yang berkaitan dengan kepentingan Sabah dan Sarawak.

“Kerajaan memberi jaminan untuk terus memperhalusi perkara yang perlu diselesaikan melalui rundingan, menerusi Majlis Khas MA63 yang dipengerusikan oleh saya sendiri dan dianggotai Ketua Menteri Sabah, Ketua Menteri Sarawak serta lapan menteri persekutuan.

“Usaha ini membuktikan kerajaan komited dalam memberi perhatian terhadap isu yang berkaitan dengan pelbagai perkara penting bagi negeri Sabah dan Sarawak.

“Kita perlu bersyukur, meskipun Malaysia sebuah negara yang negeri-negerinya terpisah oleh Laut China Selatan, setiap cabaran berjaya ditangani dan dihadapi dengan kerangka tindakan toleransi dan demokratik, berpaksikan keluhuran perlembagaan serta kedaulatan undang-undang,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|