Liputan digital Sabah dan Sarawak diperluaskan lagi – PM

Liputan digital Sabah dan Sarawak diperluaskan lagi – PM

Kota Kinabalu: Kerajaan Pusat memperluaskan lagi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2021-2025 bagi memenuhi keperluan capaian internet berkelajuan tinggi, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata langkah itu selaras dengan tumpuan kerajaan ketika ini untuk memulihkan sektor ekonomi khususnya di Sabah dan Sarawak yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Katanya, sebagai langkah siap siaga untuk Sabah dan Sarawak beralih kepada teknologi 5G, kerajaan memperuntukkan RM7.7 bilion bagi tempoh lima tahun, dengan Sabah akan menerima sebanyak
RM3.61 bilion, manakala Sarawak RM4.09 bilion.

“JENDELA menjanjikan liputan serta kemudahan internet lebih baik dan meluas, demi manfaat bersama Keluarga Malaysia khususnya di Negeri di Bawah Bayu dan Bumi Kenyalang.

“Jaminan saya, kerajaan terus komited memperbaiki perkhidmatan jalur lebar di kedua-dua negeri ini. No one will be left behind, everyone will have access to the digital world, and everyone must be connected,” katanya pada majlis sambutan Hari Malaysia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), malam ini.

Katanya, perkhidmatan itu akan memberi manfaat kepada 3.8 juta penduduk di Sabah dan 2.8 juta penduduk di Sarawak.

“Semoga selepas ini, kita tidak lagi mendengar ada Keluarga Malaysia yang terpaksa memanjat pokok atau bumbung rumah untuk mencari capaian internet pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri meminta agar semua rakyat Malaysia menghayati secara mendalam makna Hari Malaysia yang disambut setiap tahun pada 16 September.

Katanya, sebagai keluarga besar Malaysia, rakyat harus bertoleransi dalam semua perkara, hormat-menghormati serta mengekalkan perpaduan yang merentasi ideologi politik demi negara Malaysia yang dicintai.

“Ayuh Keluarga Malaysia, kita bulatkan tekad dan bersatu hati untuk terus memelihara serta mempertahankan kedaulatan negara.

“Perpaduan rakyat yang berbilang kaum, agama dan bangsa, selain integrasi nasional silang budaya, serta merentasi ideologi politik, adalah tunjang kekuatan kita sebagai sebuah negara bangsa yang berjaya.

“Umpama selembar benang, dikait, ditenun dan dijalin akhirnya menjadi kain yang sempurna indahnya. Itulah semangat Keluarga Malaysia yang menjunjung utuh perpaduan,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|