Jadikan contoh semangat pejuang Sabah dan Sarawak untuk melawan pandemik – PM

Jadikan contoh semangat pejuang Sabah dan Sarawak untuk melawan pandemik – PM

Kota Kinabalu: Perdana Menteri berkata semangat tokoh pejuang kemerdekaan di Sabah dan Sarawak menuntut kemerdekaan sehingga terbentuknya Malaysia pada 16 September 1963 tidak seharusnya terhenti.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sebaliknya semangat pejuang terbabit perlu dijadikan contoh dalam perang melawan musuh tidak kelihatan dihadapi negara ketika ini, iaitu pandemik COVID-19.

Katanya, semangat juang itu harus mengalir dalam darah setiap ahli Keluarga Malaysia bagi memerdekakan diri, keluarga dan tanah air daripada kemelut pandemik COVID-19.

“Menyoroti lembaran sejarah, pembentukan Malaysia mengambil masa hampir 27 bulan lamanya, bermula pada Mei 1961. Pelbagai cabaran terpaksa ditempuh dalam membentuk Malaysia sebagai sebuah negara persekutuan.

“Oleh itu, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah dan penghargaan terhadap usaha gigih tokoh pejuang yang membebaskan Sabah dan Sarawak daripada penjajah.

“Nama seperti Datu Mat Salleh, Tun Mohd Fuad Stephens dan Tun Datu Mustapha Datu Harun adalah tokoh pejuang yang gemilang dalam sejarah negeri Sabah, manakala Datuk Patinggi Abang Ali, Temenggong Jugah dan Rentap adalah antara tokoh kemerdekaan Sarawak.

“Semangat tokoh pejuang ini tidak seharusnya terhenti. Dalam perang melawan musuh yang tidak terlihat iaitu pandemik COVID-19, semangat juang ini harus mengalir dalam darah setiap ahli Keluarga Malaysia bagi memerdekakan diri, keluarga serta tanah air daripada kemelut pandemik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan majlis sambutan Hari Malaysia yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, malam ini.

Majlis berkenaan disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin. Yang turut hadir ialah isteri beliau, Toh Puan Norlidah RM Jasni; Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Hadir sama ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, Datuk Kadzim Yahya; Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Bersama Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Malaysia 2021, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa.

Ismail Sabri berkata Malaysia yang terbentuk pada 16 September 1963 melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), masih utuh sebagai sebuah negara yang aman, merdeka dan berdaulat di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong sebagai Payung Perpaduan Negara.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|