GRS hargai komitmen Pusat meletakkan MA63 antara teras kerjasama dwi-partisan

GRS hargai komitmen Pusat meletakkan MA63 antara teras kerjasama dwi-partisan

Kota Kinabalu: Kerajaan negeri pimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menghargai komitmen meletakkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai antara teras utama dalam kerjasama dwi-partisan melalui memorandum persefahaman di peringkat persekutuan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata atas semangat yang sama, Sabah berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dapat meneruskan dan menyambung semula pada kadar segera siri rundingan di antara kerajaan persekutuan, kerajaan negeri Sabah dan kerajaan Sarawak melalui platform Majlis Khas MA63 yang dirintis bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

“Banyak kemajuan awal telah mula dicapai. Kita berkeyakinan tinggi, di bawah kebijaksanaan kepimpinan Perdana Menteri, kita akan dapat bersama-sama membawa nilai dan makna yang lebih besar.

“Berteraskan semangat ‘Keluarga Malaysia’ merentasi wilayah, Insya Allah, kita berusaha memenuhi kontrak sosial antara wilayah yang telah disepakati para pelopor awal tanah air di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya dalam ucapan sempena majlis sambutan Hari Malaysia di Pusat Konvensyen Antarbangsa Sabah (SICC), malam ini.

Hajiji turut mengulangi komitmennya selaku ketua kerajaan kepada rakyat dan negeri Sabah, memberi jaminan bahawa suara rakyat Sabah yang mengutarakan hak-hak negeri, bukan hanya berkisar mengenai kepentingan negeri semata-mata.

“Keprihatinan itu lahir atas rasa kecintaan dan kesetiaan kami kepada Persekutuan Malaysia, negara yang telah kita bentuk bersama-sama. Setelah 58 tahun, sesungguhnya hasrat kami adalah untuk melihat rakyat dan negeri Sabah diberikan pengiktirafan yang lebih signifikan dalam membawa Malaysia melangkah ke hadapan, membina negara yang jauh lebih makmur, aman, maju dan sentosa,” katanya.

Beliau turut menekankan di peringkat negeri, pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sudah bersepakat sejak dari awal untuk meletakkan kepentingan rakyat dan negeri sebagai keutamaan.

Katanya, komitmen GRS adalah untuk menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya yang dilancarkan pada 29 Mac 2021 sejajar usaha menunaikan mandat rakyat dengan sebaik mungkin, lebih-lebih lagi ketika berdepan kemelut kesihatan awam luar biasa yang memberi kesan kepada ekonomi negeri dan kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, katany masyarakat pelbagai kaum di Sabah sudah sebati dengan semangat kekeluargaan yang seiring dengan konsep Keluarga Malaysia dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Berikutan itu, katanya kerajaan negeri sangat mengalu-alukan pendekatan baharu dibawa kepemimpinan Perdana Menteri dalam mencorak negara untuk berdepan situasi yang mencabar akibat penularan pandemik Covid-19.

Beliau memberi contoh, dalam komuniti Bajau Sama, ada falsafah disebut mangan nia’ mangan asal jo kurung-kurung’, manakala dalam rumpun Kadazandusun ada konsepmitatabang om misompuru’ dan nilai `dapai kapatai asal magisa-isa’ dalam masyarakat Iranun.

“Semua warisan tradisi ini membawa kepada nilai dan makna kekeluargaan yang menekankan prinsip kesatuan, kerjasama dan kesepakatan yang intim dan erat,” katanya.

-Deasoka

 © 2021 deasoka.com | All rights reserved.

|